Majikan tempatan kantoi, bawa masuk ‘pakar jahit’ warga asing secara haram

Oleh MAISARAH AISYA

Meskipun pelbagai peringatan dan tindakan penguatkuasaan telah dilakukan, masih wujud segelintir majikan yang berdegil cuba membawa masuk warga asing untuk dijadikan pekerja haram.

Terbaharu, satu kumpulan lelaki warga Pakistan dan Bangladesh yang memiliki kemahiran khusus dalam jahitan dipercayai dibawa masuk oleh majikan tempatan sebelum ditahan di sebuah premis menjahit pakaian.

Kegiatan majikan berkenaan yang menggaji seramai 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) akhirnya terbongkar susulan serbuan Ops Mahir di Jalan Cempaka, Hulu Langat, semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, seorang majikan warga tempatan turut dikenakan tindakan lapor Harian Metro.

“Kesemua warga asing ditahan itu membabitkan 15 lelaki Pakistan, Bangladesh (tiga) dan tiga wanita Indonesia berusia lingkungan 17 hingga 50 tahun.

“Ketika serbuan kesemua warga asing itu sedang sibuk bekerja memotong kain dan menjahit baju dan tudung,” katanya seperti dipetik Harian Metro..

Menurutnya, situasi cemas tercetus apabila beberapa warga asing bertindak melarikan diri malah ada yang bersembunyi di sebalik timbunan kain sebaik pasukan operasi menggempur premis berkenaan kira-kira jam 11 pagi.

Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya ditahan bagi membantu siasatan mengikut Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Khairrul Aminus berkata, siasatan awal mendapati warga asing terbabit memasuki negara ini melalui laluan udara sebelum dijanjikan pekerjaan oleh ejen yang menguruskan kemasukan mereka.

“Warga asing terbabit dipercayai bekerja di premis berkenaan kurang daripada tiga tahun dan mendakwa pasport mereka dipegang oleh ejen berkenaan.

“Kesemua mereka bekerja dan tinggal di premis kedai jahit tanpa nama itu yang diserbu susulan risikan selama kira-kira satu minggu,” katanya.

Baca juga: Ameera Khan didakwa bercinta dengan kerabat diraja, peminat luah rasa kecewa?