Wanita geram adik ipar minta kunci Mercedes dari bibik, pinjam tanpa izin sampai bateri kong

Oleh WAN SITI AMINAH

Perkongsian seorang wanita mengenai sikap adik iparnya yang ‘meminjam’ kereta miliknya tanpa meminta keizinan terlebih dahulu telah berjaya mencuri perhatian ramai pengguna media sosial baru-baru ini.

Mana tidaknya, tindakan tersebut bukan sahaja salah dari segi etika malah turut menimbulkan masalah lain kerana kenderaan mewah itu dikatakan tersadai selepas dipakai oleh adik ipar berkenaan.

Berdasarkan perkongsian tular dimuat naik di platform Threads, wanita terbabit memaklumkan bahawa kejadian berlaku ketika keluarga kecilnya termasuk suami dan anak-anak bercuti ke luar negara.

Adik kepada suaminya kemudian mengunjungi kediaman mereka secara diam-diam ketika ketiadaannya dan meminta pembantu rumah untuk menyerahkan kunci kereta berjenama Mercedes tersebut.

“Kurang ajar, adik ipar tak minta izin nak pakai Mercedes aku! Kami anak beranak sekarang dekat luar negara. Nak tahu macam mana kami sedar? Aku sengaja nak tengok gambar rumah kami dekat laman web.

“Sebab nak jual rumah itu. Masa itu, baru perasan dalam gambar yang ejen ambil tiada kereta Mercedes kami di ruangan parkir. Kereta itu juga kami nak jual, sudah ada pembeli,” kesalnya dalam perkongsian itu.

Difahamkan, kenderaan tersebut sememangnya memiliki kerosakan kecil yang akan dibaiki apabila mereka pulang dari luar negara namun tindakan adik iparnya mungkin akan menambahkan masalah kepada kereta berkenaan.

Wanita itu juga tidak menyalahkan pembantu rumahnya kerana mereka pernah berhadapan situasi sama sebelum ini namun kejadian terdahulu berlaku selepas adik iparnya meminta keizinannya suami isteri terlebih dahulu.

“Hari kami nak pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu, suami sempat ke kedai mencuci kereta sebelum hantar gambar kepada pembeli. Pergi ke bengkel sekali untuk periksa apa yang patut.

“Dapat kesan ada masalah dekat kereta itu. Kami ambil keputusan nak baiki balik bercuti nanti. Suami telefon dia tanya tentang kereta itu. Adik ipar beritahu selepas ambil, kereta itu terus mati. Kini tersadai depan rumah mentua.

“Sebab bateri ‘kong’. Tak salahkan pembantu sebab aku tak pesan. Kali ini juga pembantu tak tahu yang budak itu menipu. Saya juga tak sangka dia boleh melampaui batas seperti ini.” Ujar wanita terbabit.

Baca juga: Majikan tempatan kantoi, bawa masuk ‘pakar jahit’ warga asing secara haram