Anak Syasya Rizal menangis tanpa suara sampai muka biru, diserang ‘breath holding spell’

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi, Syasya Rizal berhadapan dengan detik cemas baru-baru ini apabila anak sulungnya iaitu Muhammad Yassir Hayyan yang baru berusia satu tahun mengalami serangan ‘breath holding spell’.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, Syasya memaklumkan bahawa Yassir ketika itu sedang menangis namun tidak mengeluarkan sebarang suara sebelum mukanya bertukar menjadi kebiruan.

Anaknya kemudian kelihatan sudah tidak bermaya malah hampir sahaja pengsan sebelum Syasya segera bertindak pantas untuk menyedarkan kembali anaknya termasuk menggosok badan dan memanggil namanya.

Menurut pemilik nama sebenar Norsyasya Afiqah Shahrizal itu, keadaan tersebut dipanggil Breath Holding Spell yang berlaku apabila emosi anak kecil terlalu kuat terutamanya ketika berada dalam fasa tantrum.

“Sebagai Mama, memang terus cuak. Tengah pantang ke apa, semua memang sudah tak fikir. Mama terus angkat, gosok belakang badan dan memanggil nama dia. Ketika itu, Yassir nampak macam sudah tidak bermaya.

“Alhamdulillah tidak lama selepas itu, dia sedar balik dan menangis dengan suara semula. Pengalaman yang betul-betul buat saya sedar betapa rapuhnya perasaan seorang ibu. Doakan Mama terus kuat membesarkan anak-anak,” katanya.

Syasya yang juga merupakan bekas anggota kumpulan nyanyian, Dolla itu turut meluahkan rasa syukur kerana mampu mengatasi situasi tersebut dengan pantas meskipun mengakui cukup panik.

Dalam perkongsian sama, penyanyi berusia 25 tahun itu memaklumkan bahawa kejadian berlaku ketika dirinya sedang menyusukan anak keduanya yang baru sahaja dilahirkan pada awal bulan Disember lalu.

“Semasa Mama tengah susukan si adik, abangnya datang nak menyendeng dan memanjat-manjat Mama. Takut dia terlalu ganas dekat adik, jadi mama tak bagi. Tiba-tiba abang tantrum.

“Menangis tanpa suara. Muka dia perlahan-lahan bertukar kebiruan.” Kongsinya mengenai kejadian cemas tersebut sebelum bertanyakan kepada orang ramai jika mereka pernah menghadapi situasi serupa.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati ramai ibu bapa mengakui pernah berhadapan dengan situasi sedemikian dan berkongsi pengalaman mereka dalam memulihkan kembali keadaan anak.

Sekadar info, Syasya mendirikan rumah tangga dengan Nasrullah Mohd Sapie pada 20 April 2024 sebelum dikurniakan cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Yassir Hayyan dan seorang anak perempuan yang belum didedahkan namanya.

Baca juga: Keprihatinan pensyarah tolong jagakan anak sementara pelajar ambil ujian buat ramai tersentuh