Tular dakwaan hotel ‘mesra gay’ di Melaka, JAIM diarah buat siasatan

Oleh MALAYSIADATELINE

Tular di media sosial satu tangkap layar daripada sebuah laman web hotel di Melaka yang memaklumkan bahawa premis penginapan berkenaan bersifat ‘gay friendly’.

Perkara itu mengundang perdebatan apabila ramai mempersoalkan kesesuaian kenyataan tersebut dalam konteks budaya dan norma tempatan, khususnya melibatkan industri perhotelan di Malaysia.

Menurut Kosmo! Online, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) diarahkan menjalankan siasatan berhubung dakwaan kewujudan hotel berkenaan yang tular di media sosial sejak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, siasatan perlu dilakukan secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan atau tindakan diambil.

“Saya sudah minta JAIM untuk siasat terlebih dahulu dan kita tidak boleh membuat sebarang keputusan awal selagi maklumat jelas serta bukti diperoleh,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Sebelum ini satu hantaran dikongsikan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung di Facebook mempersoal terma friendly atau mesra yang semakin banyak digunakan.

“Hotel Mesra Gay di Melaka Selain pet-friendly mall, Malaysia juga memiliki ‘family friendly’, ‘child friendly’ dan yang terbaru, ‘gay friendly’ hotel di Melaka.

“Agak kreatif penjenamaan. Label ‘Muslim friendly’ pun boleh dijadikan bisnes, apatah lagi ‘gay friendly’.

“Ingatkan sukan je ada ‘friendly’ ‘friendly’ ni. Tak sangka pula ‘gay’ pun ada ‘friendly’ secara terbuka ya,” kongsinya di Facebook.

Baca juga: Lelaki bangga ada 6 rumah sewa tapi bulan-bulan masih dapat STR, SARA