Lelaki bangga ada 6 rumah sewa tapi bulan-bulan masih dapat STR, SARA

Oleh KIM SYAZIE

Seorang lelaki mendakwa dia mempunyai enam buah rumah yang disewakan, tetapi pada masa sama masih menerima bantuan bulanan kerajaan seperti SARA RM100 dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Kedua-dua bantuan itu berjumlah RM1,900 setahun.

Dalam perkongsian yang kini menjadi kritikan ramai, individu itu mendakwa dia mahu dianggap sebagai B40 kerana mahukan anak-anaknya mendapat biasiswa pelajar dari JPA.

“Syukur lulus. MyKasih + STR setahun RM1.9k je. Orang tanya kenapa aku masih stay B40 sedangkan ada 6 buah rumah sewa? Sebab aku nak anak-anak aku dapat biasiswa JPA.

“Satu anak degree = RM65,000 ditanggung kerajaan. STR 10 tahun pun baru RM19,000. Masa depan anak aku jauh lebih bernilai.

“Sebab tu aku tahan nak beli kereta elektrik, nak itu ini. Ayah ni tak mintak banyak. Cukup dapat tengok anak-anak berjaya. Itu ‘kaya’ sebenar,” kongsi individu tersebut di Threads.

Perkongsian “humble brag” itu bagaimanapun memakan dirinya sendiri apabila warganet mengecam tindakan lelaki berkenaan yang dianggap mementingkan diri dan telah mengambil hak orang lain.

Orang ramai juga mula membawa isu ini ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), membuat laporan atas dakwaan lari dari membayar cukai.

Sementara itu netizen memaklumkan lelaki berkenaan telah pun memadam hantaran yang dibuatnya selepas teruk dikecam.

Baca juga: Banglo Sajat akhirnya berjaya dilelong, ini nilai terakhirnya