Ibu tak puas hati kenapa ‘design’ baju sukan sekolah setiap tahun sama

Oleh KIM SYAZIE

Tindakan seorang ibu mempertikai rekaan baju sukan sekolah, menimbulkan reaksi kurang senang dalam kalangan pengguna media sosial.

Dalam satu perkongsian tular, seorang ibu difahamkan menghantar mesej di kumpulan WhatsApp ibu bapa bersama guru kelas.

Dia mempersoalkan rekaan baju sukan yang didakwa tidak muslimah sehingga anaknya perlu menggunakan berlapis-lapis baju.

Ketidakpuasan hatinya juga berpunca dari baju sedia ada yang dikatakan tidak menutup aurat.

“Kenapa design baju tak tukar? Setiap tahun sama? Dan tiada saiz muslimah seperti bentuk A bagi mengelakkan nampak tubuh badan dan punggung anak-anak perempuan.

“Esok saya akan jumpa guru besar sekolah,” katanya.

Tidak hanya itu, individu tersebut juga mahu membuat aduan kepada guru yang bertanggungjawab membuat tempahan baju pelajar.

“Saya dah tak larat tengok anak saya berlapis-lapis baju. Cuaca Malaysia bukan salji. Esok saya bersemuka dengan guru besar. 

“Kalau boleh guru yang bertugas ambil order baju ni saya akan buat aduan. Kamu tak sesuai. Maaf,” katanya lagi.

Perkongsian tular itu ternyata menimbulkan reaksi kurang senang dalam kalangan ibu bapa lain yang berpendapat tidak rasional untuk meminta agar baju sukan anak-anak ditukar setiap tahun kerana ia boleh membebankan ibu bapa.

Mereka juga tidak bersetuju dengan sikap segelintir ibu bapa melepaskan emosi kepada guru sedangkan mereka sendiri tidak menunjukkan komitmen dalam mesyuarat PIBG.

Baca juga: Uyaina Arshad pernah dijangka sukar hamil, ‘kun fayakun’ kini bakal timang anak ketiga