“Satu nama, satu lesen” – Peniaga dakwa reformasi DBKL tamatkan sistem ‘Ali Baba’ tapak bazar

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang peniaga kecil mendakwa pelaksanaan pembaharuan sistem pelesenan dan tapak niaga oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas perubahan pentadbiran berjaya menamatkan amalan yang didakwa memberi ruang kepada sistem ‘Ali Baba’ dalam pengagihan tapak bazar.

Menerusi satu hantaran di Facebook, pengguna dikenali sebagai Hazwani Idris berkongsi pengalaman berniaga yang disifatkannya cukup mencabar sebelum sistem baharu diperkenalkan.

Menurutnya, ketika mula berniaga di tepi jalan dan menyertai bazar Ramadan, peluang mendapatkan tapak secara rasmi amat sukar sehingga ada individu yang didakwa menjual tapak kepada peniaga lain.

“Lepas berhenti kerja, cuba berniaga tepi jalan, baik dan tiada masalah.. cuma sedikit penat pagi hingga malam.

“Masa bulan Ramadan nak cuba bazar masa tu memang akaun kosong, call jawatankuasa cakap nak cabut undi bawa RM800,” ujarnya dalam hantaran di Threads.

Hazwani mendakwa walaupun cabutan undi dibuat untuk mendapatkan tapak, terdapat individu yang membeli banyak penyertaan menggunakan nama berlainan sebelum menjual semula tapak yang diperoleh.

“Kawan telefon cakap kalau nak tapak kena bayar RM3,000. Sistem ‘Ali Baba’ beli RM800, jual RM3,000 satu tapak. Maaf, kalau ada duit pun saya tak akan beli,” jelasnya.

Hazwani turut berkongsi pengalaman pernah diminta membeli tapak niaga daripada individu lain walaupun beliau merupakan warganegara Malaysia.

“Saya tertanya-tanya macam mana boleh jual tapak niaga kepada orang lain. Saya pergi tanya DBKL masa itu, mereka pun tak boleh nak tolong sebab sistem itu dah lama ada.

“Lepas PH ambil alih DBKL, satu nama satu lesen boleh undi, syarat warganegara sahaja. Alhamdulillah dapat tapak cantik,” kongsinya.

Menurutnya lagi, sistem baharu itu turut menghapuskan amalan jual beli tapak dan memastikan semua tapak kekal di bawah pengurusan pihak berkuasa tempatan.

“Alhamdulillah, lepas sistem ini diubah, tapak semua hak milik DBKL dan majlis. Tak ada lagi jual beli, cuma lesen kena diperbaharui.

“Kalau beberapa kali tak berniaga tanpa alasan kukuh, DBKL wajib buang nama kita dan beri kepada orang lain,” jelasnya.

Di akhir perkongsiannya, Hazwani menyifatkan pembaharuan itu lebih adil kepada peniaga kecil yang benar-benar mahu mencari rezeki.

“Untuk saya, macam ini lebih adil. Pilihlah parti yang jaga rakyat, bukan poket mereka,” ujarnya.

Baca juga: Anak muda tak minat kerja tebar roti canai walau ditawar gaji RM3,000 & kerja setengah hari