Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan FELDA perlu terus diperkukuh sebagai institusi yang mengangkat martabat peneroka dan keluarga mereka, selaras dengan usaha memastikan daya saing ekonomi serta kelestarian agensi itu terus dipertingkatkan.
Perkara itu disampaikan ketika beliau menerima kunjungan Pengerusi FELDA yang baharu, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir di Putrajaya pada Khamis.
Menurut Anwar, kebajikan setiap generasi peneroka perlu diberikan perhatian seiring usaha memperkukuh kedudukan ekonomi FELDA.
Beliau berkata, usaha memperkukuh FELDA bukan sahaja tertumpu kepada kebajikan peneroka sedia ada, malah turut melibatkan penyelesaian isu yang dihadapi generasi baharu.
“Dalam pertemuan tersebut saya tegaskan bahawa FELDA mesti terus diperkukuh sebagai institusi yang mengangkat martabat peneroka dan keluarga mereka.
“Kebajikan setiap generasi peneroka perlu berjalan seiring dengan usaha memperkukuh daya saing ekonomi dan kelestarian FELDA, termasuk memberi perhatian kepada isu-isu yang dihadapi generasi baharu,” ujar beliau dalam hantaran di Facebook.
Anwar turut menyatakan keyakinan bahawa Ahmad Badri mampu meneruskan agenda pemulihan dan pengukuhan FELDA yang sedang dilaksanakan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI akan terus memberikan sokongan penuh bagi memastikan FELDA kekal relevan sebagai institusi yang membela kepentingan peneroka dan keluarga mereka.
“Saya yakin dengan amanah yang dipikul, saudara Ahmad Badri mampu meneruskan agenda pemulihan dan pengukuhan FELDA.
“Kerajaan MADANI akan terus memberikan sokongan penuh demi memastikan institusi rakyat ini terus maju dan kekal relevan untuk generasi akan datang,” tambah beliau.
Baca juga: DUN Chennah Kritikal Tentukan Mandat Kerajaan Negeri – Loke