Kanak-kanak teruja cerita pengalaman jumpa PMX, siap dapat duit sedekah Jumaat

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang kanak-kanak begitu teruja dapat berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga terus bercerita mengenai pertemuan itu kepada ibunya sebaik diambil dari Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Difahamkan, pemimpin nombor satu negara itu singgah ke Masjid Dato Penghulu Menteri Sungei Ujong (Masjid Kuaters KLIA), Nilai semalam untuk menunaikan solat Jumaat dalam rangka lawatan kerja ke Negeri Sembilan.

Masjid tersebut terletak bersebelahan dengan bangunan Sekolah KAFA yang dihadiri oleh kanak-kanak dikenali sebagai Qais itu sekali gus membuka peluang untuk murid terbabit bertemu secara dekat dengan Anwar.

Pengalaman diceritakan oleh Qais itu kemudian dikongsikan semula oleh ibunya, Nur Huda Faujan menerusi satu perkongsian dimuat naik di platform Facebook yang kini sudah meraih sebanyak 2,700 tanda suka itu.

Menurut Nur Huda, anaknya bukan sahaja dapat beramah mesra dengan pemimpin mesra dikenali sebagai PMX itu malah turut menerima wang sedekah bersempena Hari Jumaat yang diberikan juga kepada sekumpulan kanak-kanak lain.

“‘Mama, saya jumpa PMX tadi dekat masjid’. Qais terus bercerita sejurus masuk dalam kereta dari KAFA. ‘Ush, biar betul’, mama mencelah. ‘Betul mama, dia bagi saya RM10,’ terus dia tunjuk duit RM10.

“Mama terus masuk Facebook PMX untuk tengok kebenaran. ‘Betul lah. Dia datang Nilai. Oh, dia pergi Institut Pendidikan Guru (IPG) Nilai. Selepas itu, solat Jumaat di situ. ‘Ada gambar saya kot. Pegawai dia ambil-ambil gambar’, Qais teruja betul.

“Katanya, ‘Saya salam dan tanya, Datuk (sokong) Argentina ke Sepanyol? Datuk jawab Sepanyol’, seronok betul Qais cerita. Saya tanya, ini duit siapa. Pegawai dia kata, duit Datuk. Datuk beri sedekah dekat budak-budak sebab hari ini, hari Jumaat’,” kongsinya.

Kanak-kanak itu juga mengakui cukup teruja dapat bersalaman dengan Anwar kerana dapat merasakan sendiri pengalaman bermakna yang selama ini hanya dilihatnya di kaca televisyen dan media sosial.

Dalam hantaran itu, Nur Huda turut berkongsi semula gambar dimuat naik di akaun Facebook Anwar yang memperlihatkan kelibat Qais dengan bertandakan anak panah berwarna hijau.

“Mama kata lagi, ‘berani juga ya awak’. ‘Ish saya memang berani pun tanya-tanya dan borak-borak’, Qais jawab lagi. Teruja sungguh si Qais jumpa PMX. Tidak mengapalah, rezeki juga solat Jumaat di situ. Kadang-kadang, dia solat dalam taman sahaja.

“Masjid ini sebenarnya bersebelahan sahaja dengan sekolah KAFA dia. Malah ada kelas yang berkongsi dengan bangunan masjid. SARA Kuarters KLIA. Kisah Qais dgn PMX.” Ujar sang ibu lagi dalam hantaran tersebut.

Baca juga: “Satu nama, satu lesen” – Peniaga dakwa reformasi DBKL tamatkan sistem ‘Ali Baba’ tapak bazar