Seorang ibu kepada tiga anak tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas tindakannya menampal mulut bayi dengan sellotape atau pita selofan nmencetuskan kecaman di media sosial.
Dalam satu hantaran susulan, wanita itu mengakui keputusan tersebut sebagai ‘penyelesaian bodoh pada saat terdesak’ yang berpotensi membahayakan keselamatan bayinya.
Menurutnya, dia sedang belajar daripada kesilapan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
“Saya mengakui ia tindakan yang salah dan berisiko. Saya terima teguran dengan hati terbuka, tetapi ada yang memutar belit kenyataan saya sehingga melabel saya sombong,” katanya di Threads.
Wanita itu turut memaklumkan bahawa sejak malam sebelumnya, dia telah menghubungi beberapa individu secara peribadi di ruangan mesej bagi memohon maaf serta meminta agar gambar anak-anaknya tidak terus disebarkan.
Dalam hantaran lain, dia menegaskan bahawa dirinya tidak menyimpan dendam terhadap mana-mana pihak meskipun berasa sedih membaca sebahagian komen.
“Saya ibu kepada tiga anak perempuan. Saya membaca setiap teguran sebagai peringatan. Alhamdulillah, tiada apa-apa berlaku dan anak-anak saya sihat,” jelasnya.
Dia turut menepis dakwaan segelintir pihak yang menyangka kejadian menampal mulut berlaku di rumah, menegaskan bahawa anak-anaknya sentiasa dijaga dan disayangi sepenuh hati.
Sebelum ini tular di Threads mengenai seorang wanita meletakkan sellotape selepas memasukkan pacifier (puting bayi) ke dalam mulut anak kembarnya.
Perkara tersebut mencetuskan kebimbangan para wanita kerana ia adalah bahaya andai kata kanak-kanak tersebut tersedak air liur.
Baca juga: Ibu tak puas hati kenapa ‘design’ baju sukan sekolah setiap tahun sama