Anak tak minat belajar Mandarin, Adam Corrie pilih Sekolah Kebangsaan

Oleh MAISARAH AISYA

Pelakon Adam Corrie berkongsi pandangannya mengenai keputusan menghantar anaknya, Adam Fatah Lee ke Sekolah Kebangsaan.

Dia menegaskan bahawa pilihan tersebut dibuat berdasarkan minat dan keselesaan anak, bukannya faktor bangsa atau bahasa.

Menerusi satu hantaran di media sosial, Adam Corrie berkata walaupun berbangsa Cina, dia memilih aliran sekolah kebangsaan kerana anaknya tidak menunjukkan minat untuk mengikuti sistem pendidikan berasaskan Mandarin.

Menurutnya, sebelum ini anaknya pernah dihantar ke tadika Cina, namun jelas minatnya bukan dalam pembelajaran bahasa tersebut.

“Bukan kerana saya tidak mahu anak belajar Mandarin, tetapi kerana anak saya sendiri tidak berminat,” katanya.

Jelasnya untuk memasuki sekolah jenis kebangsaan Cina, lazimnya murid perlu melalui sekurang-kurangnya dua tahun pendidikan tadika Cina satu realiti yang diterimanya dengan hati terbuka.

Dalam pada itu, Adam Corrie turut berkongsi bahawa Mandarin bukan bahasa ibundanya, dia lebih arif dengan Hokkien.

“Mandarin bukan bahasa ibunda saya, saya sekadar faham dan boleh bertutur sedikit-sedikit sahaja. Kalau Hokkien, memang bahasa saya,” ujarnya.

Adam turut menegaskan bahawa setiap anak mempunyai minat dan laluan pembelajaran masing-masing, dan peranan ibu bapa adalah untuk menyokong pilihan tersebut, bukan memaksa.

“Sebagai ibu bapa, tugas kita adalah menyokong anak, bukan memaksa mereka mengikut kehendak kita semata-mata,” katanya.

Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi netizen, dengan ramai memuji sikap terbuka dan rasional Adam Corrie dalam membuat keputusan pendidikan anaknya.

Baca juga: Uyaina Arshad pernah dijangka sukar hamil, ‘kun fayakun’ kini bakal timang anak ketiga