Perkongsian seorang ibu yang meluahkan kekecewaan berhubung makanan dijual di kantin sekolah anaknya telah berjaya mencuri perhatian ramai pengguna media sosial baru-baru ini.
Mana tidaknya menerusi hantaran yang dimuat naik di platform Threads itu, ibu berkenaan berkongsi gambar memaparkan cawan diisi dengan mi segera didakwa dijual di kantin sekolah rendah berkenaan.
Ibu terbabit mencurahkan rasa kesalnya memandangkan anaknya sudah dilarang untuk menikmati mi segera itu di rumah namun makanan tidak berkhasiat berkenaan malah dijual di kantin sekolah.
Kanak-kanak yang masih bersekolah pula sudah tentulah akan memilih untuk membeli makanan segera berharga RM3 tersebut walaupun ibu bapa mereka sudah menyediakan bekalan dari rumah.
“Tak benarkan anak makan mi segera dekat rumah. Tetapi dekat kantin sekolah pula jual. Ayoo, ini kalau bawa bekal sekalipun, belum tentu dia tak beli mi segera tersebut. Kalau tak berikan duit belanja, kasihan.
“Takut susah pula nak beli barang penting ataupun kuih di sekolah nanti. Mengapalah (jual) mak cik kantin,” kesal si ibu yang mengakui perlu mendidik anak dengan lebih tegas selepas ini agar tidak sering memakan mi segera.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna Threads memberikan cadangan agar wanita terbabit membuat laporan kepada pihak sekolah tentang penjualan makanan tidak berkhasiat berkenaan.
Beberapa individu yang memiliki pengalaman berurusan dengan permohonan tender kantin sekolah pula turut mengesahkan bahawa makanan ringan sememangnya dilarang untuk dihidangkan kepada murid sekolah.
“Kadang-kadang sekolah tak tegas. Dekat kantin ibu saya, sangat tegas. Rancangan Makanan Tambahan (RMT) ada peraturan sendiri, siap kena timbang. Mi segera, sosej, nuget, hidangan berasaskan coklat atau makanan segera memang tak boleh jual,” kongsi seorang pengguna.
“Hari pertama sekolah anak darjah satu, saya tanya makan apa. Dia jawab mi segera letak telur. Sama macam kanak dia dahulu, Darjah 1 makan mi segera hari-hari di sekolah. Sudahnya diharamkan dekat rumah sebab hari-hari makan di sekolah.” Kesal pengguna lain.
Baca juga: Anak tak minat belajar Mandarin, Adam Corrie pilih Sekolah Kebangsaan