Kenyataan ‘jangan cari pasal dengan orang berduit’ bukan untuk netizen, Ojen Aiwah mohon maaf

Oleh MALAYSIADATELINE

Usahawan dan pempengaruh, Ojen Aiwah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka susulan mengeluarkan kenyataan ‘jangan cari pasal dengan orang berduit’ menerusi hantaran di media sosial baru-baru ini.

Pempengaruh itu turut menegaskan bahawa kenyataan yang didakwa disalah tafsir oleh segelintir pihak sehingga mengundang kecaman hebat terhadap dirinya tersebut tidak ditujukan kepada netizen mahupun rakyat Malaysia.

Sebaliknya ditujukan kepada seorang individu sahaja iaitu jurulatih kecergasan dikenali sebagai Tareq Fit yang baru-baru ini menghasilkan kandungan berbentuk teguran berhubung penjualan manisan kunafa di Malaysia.

Ojen mengakui memilih untuk berdiam diri sebelum ini sebagai tanda menerima teguran berkaitan penampilan termasuklah isu solekan, serban dan pemakaian malah sedang melakukan perubahan secara berperingkat.

Namun apabila kandungan dibuat oleh individu terbabit sudah melibatkan jenama dan perniagaan yang dibinanya selama lima tahun, Ojen tampil mengeluarkan kenyataan untuk mempertahankan dirinya.

“Saya mohon maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki. Kenyataan itu bukan untuk netizen mahupun rakyat Malaysia, tetapi ditujukan kepada saudara tersebut sahaja. Sebelum ini individu tersebut membuat video menegur Ojen memakai serban.

“Tetapi Ojen tidak mengeluarkan kenyataan balas. Sebab saya terima teguran tersebut. Dari pakai serban tukar ke topi. Ojen mula keluar tanpa mengenakan solekan. Tetapi apabila dia menyentuh jenama dan perniagaan, saya tidak boleh berdiam,” katanya.

@ojennn_aiwahh

Assalamualaikum semua, Maafkan saya @Kunafa.Aiwahhh

♬ original sound – OjennnAIWAHHH ! – OjennnAIWAHHH !

Namun menerusi perkongsian dimuat naik di platform TikTok itu, Ojen tidak menafikan kenyataan sebelum ini dilakukan dalam keadaan emosinya tidak stabil susulan berhadapan dengan tekanan peribadi dan perniagaan.

Dalam pada itu, pempengaruh terbabit memaklumkan bahawa pihak peguamnya sudah menghubungi individu yang terlibat sebelum mengambil tindakan saman namun gagal mencapai kata sepakat.

“Dia bukan sekadar tegur tetapi turut meletakkan muka saya, pekerja dan video Kunafa Aiwah. Perkara itulah yang membuatkan Ojen meletus dan marah. Minggu ini pula memang sangat mencabar. Ibu Ojen sakit kanser.

“Perlu dijaga di hospital. Perkara ini memberikan impak hingga terkeluar kenyataan yang jauh dari peribadi Ojen. Kenyataan itu bukan dikeluarkan untuk menunjukkan diri riak atau bongkak. Orang tegur terus nak saman.

“Bukan itu niat Ojen. Hanya mahu pertahankan jenama dan perniagaan. Sentuh peribadi tidak mengapa, tetapi jangan sentuh periuk nasi saya. Itu sahaja. Kami juga ada ramai pekerja yang bernaung di bawah Kunafa Aiwah,” jelasnya.

Difahamkan, kenyataan itu sudah dipadam dan usahawan terbabit sekali lagi memohon maaf kerana sudah terlanjur kata serta mengucapkan terima kasih kepada pihak yang masih memberi sokongan khususnya rakyat Malaysia.

Baca juga: Lama menghilang, warganet terkejut tengok keadaan terkini pelakon Diari Ramadan Rafique