Suami Nadia Kesuma kongsi luahan meruntun jiwa, sifatkan isteri taat, penyayang dan setia

Oleh WAN SITI AMINAH

Suami kepada pelakon, Nadia Kesuma iaitu Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah menyifatkan Allahyarhamah sebagai seorang isteri yang taat, penyayang, ikhlas dan setia.

Perkara itu dikongsikan Muhammad Kamarul menerusi satu hantaran meruntun jiwa yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya pada pagi tadi ketika menyampaikan khabar mengenai permergian arwah isterinya.

Dalam perkongsian tersebut, Muhammad Kamarul turut meluahkan rasa syukur kerana dapat menghantar isterinya ke destinasi terakhir serta mengirimkan doa agar arwah dikurniakan rahmat keampunan.

“Semoga Allah merahmatinya dengan keampunan. Sayangku, aku akan sentiasa merinduimu. Aku gembira kerana telah menghantarmu ke destinasi terakhirmu. Aku mencintaimu. Insya-Allah, kita akan bertemu lagi. Mudah-mudahan di Jannah (syurga).

“Ya Allah, daripada-Mu kami datang dan kepada-Mu kami akan kembali. Dia seorang isteri yang berbakti, penyayang, ikhlas dan setia. Ya Allah, Engkau telah menjanjikan syurga bagi mereka yang taat kepada suami dan boleh memasuki syurga dari mana-mana pintu yang disukai.

“Sesungguhnya dia taat, Ya Allah. Maka sempurnakanlah janji-Mu ke atasnya,” luah Muhammad Kamarul yang juga merupakan Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu dalam perkongsian hiba dimuat naik di platform Facebook.

Terdahulu, Muhammad Kamarul menerusi hantaran sama berkongsi pengkhabaran mengenai pemergian arwah isterinya ke rahmatullah dengan tenang pada 15 Januari, jam 8.07 pagi di tanah para anbia (Jeddah).

Difahamkan jenazah Allahyarham Nadia Kesuma atau nama sebenarnya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, itu tidak dibawa pulang ke Malaysia sebaliknya akan dikebumikan di Jeddah atas persetujuan keluarga.

Allahyarham Nadia sebelum ini dilaporkan gagal dikesan selepas menaiki penerbangan ke London, United Kingdom (UK) dari Kuala Lumpur dan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Khamis lalu.

Pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta itu adalah antara 21 peserta yang menyertai kumpulan umrah serta ziarah bersama sebuah agensi pelancongan selama dua minggu bermula dari 14 hingga 28 Januari ini.

Baca juga: Pelakon Nadia Kesumawati meninggal dunia akibat sakit jantung