Perkongsian seorang ibu mengenai pendiriannya yang enggan membayar yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah berjaya mencuri perhatian ramai pengguna media sosial baru-baru.
Mana tidaknya menerusi perkongsian yang dimuat naik di platform Threads itu, ibu terbabit membuat pengakuan enggan membayar yuran PIBG memandangkan kutipan dibuat berdasarkan sumbangan semata-mata.
Ibu terbabit turut menegaskan bahawa laporan juga boleh dibuat sekiranya pihak sekolah bertindak memaksa penjaga melunaskan yuran yang disifatkan tidak wajib dan perlu dilakukan secara sukarela berkenaan.
Wanita itu juga berpendapat bahawa guru adalah pihak yang sepatutnya menjalankan tanggungjawab mencari dana untuk menampung perbelanjaan keperluan atau aktiviti murid bukan malah membebankan ibu bapa.
“Maaf nak beri tahu, yuran PIBG itu sumbangan sahaja. Tak payah bayar jika tak mampu. Saya sudah beberapa tahun tidak bayar. Jangan jadikan itu sebagai satu bebanan untuk keluarga.
“Pihak sekolah tidak boleh desak kita. Sebab kita boleh buat laporan jika mereka paksa. Kerana itu sumbangan sahaja. Cikgu-cikgu yang kena usaha cari dana untuk sekolah, bukan ibu bapa,” katanya.
Mengulas lanjut, ibu itu turut memberikan cadangan agar guru membuat kutipan wang setiap kali membeli barang keperluan sahaja supaya penjaga sepertinya mengambil maklum mengenai tujuan serta aliran keluar dana.
Pengakuan itu difahamkan dibuat ibu terbabit sebagai maklum balas kepada perkongsian individu lain yang merasa sedikit terbeban untuk menanggung perbelanjaan persekolahan anaknya termasuk yuran PIBG.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna Threads menyelar perkongsian ibu terbabit kerana seakan-akan mengajar orang lain untuk tidak membayar yuran PIBG sedangkan bayaran boleh dibuat secara beransur-ansur jika penjaga rasa terbeban.
Ramai juga pengguna beranggapan bahawa wanita itu tidak pernah hadir ke mesyuarat PIBG kerana kurang maklum mengenai tujuan kutipan dibuat dan aliran dana keluar selain menyentuh isu keberkatan apabila anaknya menggunakan keperluan disediakan oleh pihak sekolah.

Baca juga: Trend peniaga kecil-kecilan guna nama infaq untuk habiskan jualan