Deposit RM7,000 sewa rumah? Warganet persoal kadar tidak munasabah di JB

Oleh KIM SYAZIE

Di media sosial, isu sewa rumah menjadi topik perbincangan selepas seorang pengguna meluahkan keluhan terhadap kadar deposit yang tidak munasabah.

Dalam perkongsian di Facebook yang katanya sedang terjadi di Johor, seorang pemilik rumah dikatakan meminta wang deposit sehingga RM7,000 kepada penyewa.

Ia termasuk deposit dua bulan sewa berjumlah RM3,400 dan bayaran sewa awal satu bulan sebanyak RM1,700.

Turut dipertikai, tuan rumah meminta kos bayaran ejen + SST sebanyak RM918, yang menurut warganet, sepatutnya ditanggung pemilik rumah.

Surat hitam putih persetujuan sewaan rumah berserta stamping pula dicaj RM425.

Keseluruhan deposit yang perlu dibayar penyewa adalah sebanyak RM7,293.

Amaun itu dianggap tidak masuk akal dan berlebihan.

“Ini deposit sewa rumah ke atau duit muka beli motor. Tak apalah, terima kasih,” kata penyewa berkenaan.

Ramai turut mempertikai jumlah deposit yang diminta pemilik rumah, menganggap perkara itu kini seperti sudah dinormalisasikan sehingga sukar untuk mendapatkan rumah sewa yang murah di sekitar Johor Bahru.

Baca juga: Ibu keluarkan anak dari senarai RMT lepas kewangan stabil, banjir pujian kerana berlaku jujur