Usahawan sensasi, Datuk Red kembali mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas berkongsi luahan pilu tentang penyesalan yang dirasakan sebagai seorang ayah dalam membesarkan anak-anak.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di aplikasi TikTok itu, Datuk Red atau nama sebenarnya Adnan Abu Bakar memohon maaf kepada anak-anaknya sekiranya gagal membuat mereka semua tersenyum.
Usahawan berusia 48 tahun itu juga mengakui merasa malu kerana selalu menjadi sosok yang mengecewakan selain gusar jika tidak sempat menyematkan kebahagiaan dalam kehidupan anak-anaknya.
Luahan tersebut dibuat oleh Datuk Red dalam hantaran video berdurasi 34 saat memaparkan memori-memori manis mereka terutamanya sewaktu usahawan terbabit berkumpul bersama kesemua anak-anaknya.
“Papa sayangkan kamu, anak-anakku. Video ini adalah kenangan kita bersama. Doakan Papa,” kata Datuk Red dalam ruangan kapsyen video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya itu.
Dalam hantaran sama, Datuk Red turut mengungkapkan kasih sayangnya terhadap anak-anaknya malah sanggup melakukan apa-apa sahaja termasuklah berkorban nyawa demi senyuman dan kebahagiaan mereka.
Usahawan itu juga menyimpan harapan semoga anak-anaknya dapat memaafkan semua kegagalannya yang pernah dilakukan sebagai seorang ayah dengan hati terbuka suatu hari nanti.
“Ingin rasanya menghentikan waktu agar bisaku genggam semesta ini untukmu. Percayalah nak, demi senyum dan bahagiamu, ayah rela menyerahkan nyawa ini pada dunia.
“Nak, tiada yang lebih menyakitkan daripada melihatmu tersenyum getir hanya untuk menutupi tangismu. Semoga suatu hari nanti kau boleh memaafkan semua kegagalanku.” Ujarnya lagi.
Sekadar info, Datuk Red dikhabarkan memiliki beberapa cahaya mata menerusi perkahwinan pertamanya dengan wanita dikenali sebagai Cik Hana bagaimanapun identiti mereka tidak didedahkan.
Usahawan itu juga dikurniakan lima orang anak melalui perkahwinan selama 18 tahun bersama Sharifah Norshafila Hashim yang dahulunya dikenali sebagai Datin Red sebelum bercerai pada 14 Mei 2024.
Beliau yang juga pempengaruh itu turut mempunyai empat cahaya mata iaitu Anggrek, 8, Asan, 7, Anggun, 6, dan Ayob, 4, selepas mendirikan rumah tangga dengan penyanyi terkenal, Adira Suhaimi pada 3 Disember 2015.
Walaupun Datuk Red dan Adira sudah bercerai pada 24 April 2024, usahawan itu bagaimanapun mengejutkan ramai apabila memfailkan pengesahan lafaz rujuk di Mahkamah Syariah Gombak Barat pada Disember tahun lalu.
Baca juga: “Buka kedai makan je, bukan konsert” – Khairul Aming jelaskan isu tempahan, mohon beri ruang