Seramai 10 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kelantan dalam Operasi Penguatkuasaan di beberapa hotel sekitar bandar Kota Bharu pada 18 dan 19 Januari lalu.
Operasi bermula jam 8 malam itu melibatkan 18 pegawai Bahagian Penguatkuasaan JIM Kelantan. Pemeriksaan ke atas 13 warga asing mendapati 10 daripadanya tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Tangkapan melibatkan empat lelaki warga Indonesia, tiga lelaki warga India, seorang lelaki warga Somalia serta dua wanita warga Indonesia.
Timbalan Pengarahnya, Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman memaklumkan operasi berkenaan mendedahkan modus operandi sindiket yang menjadikan hotel bajet sebagai lokasi transit lapor Bernama.
Menurutnya, pendatang asing terbabit kemudiannya dihantar ke destinasi tertentu, khususnya ke pantai barat Semenanjung.
Beliau berkata, pihaknya mengesan unsur pakatan antara pengangkut dan pihak pengurusan tertentu.
Menurutnya, kunci bilik hotel diserahkan lebih awal bagi membolehkan pendatang berehat sebelum dibawa ke lokasi seterusnya.
“Selain hotel bajet, sebelum ini kami turut mengesan pendatang ditempatkan di inap desa atau rumah sewa yang dijadikan transit,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.
JIM Kelantan turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI atau aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang di negeri ini.
Menurut jabatan itu, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati mendalangi, memudah cara atau melindungi PATI.
Baca juga: Penerima layak raih RM100 hingga RM500, Sumbangan Tunai Rahmah mula salur hari ini