Perkongsian dimuat naik usahawan dan pempengaruh, Khairul Aming memaparkan dirinya terbaring di atas katil telah mengejutkan ramai pihak terutama peminatnya baru-baru ini.
Mana tidaknya, pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman itu dipercayai sedang menerima rawatan di sebuah hospital atau klinik dengan tangannya dicucuk ‘drip’ seperti dilihat dalam gambar dikongsikannya.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di akaun Threads miliknya, usahawan terbabit mengakui menerima rawatan akibat mengalami dehidrasi selepas melayan ribuan pelanggan di restorannya iaitu Rembayung.
Usahawan itu menjelaskan bahawa keadaan kesihatannya kini baik-baik sahaja namun menerima nasihat daripada doktor untuk meminum air dengan banyak selain perlu mendapatkan rehat yang cukup.
“Selepas bergambar dengan 7,000 pelanggan. Doktor suruh suruh minum air banyak-banyak. Dehidrasi. Tetapi semuanya baik-baik sahaja. Cuma kena cukup rehat. Jangan lupa minum air semua,” katanya dalam hantaran itu.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata peminat meluahkan rasa khuatir dan menasihati usahawan terbabit agar tidak terlalu memaksa diri selain berkongsikan petua menjaga kesihatan.
Ramai juga pengguna memberikan kata-kata semangat dan kiriman doa namun ruangan komen tersebut turut ‘diserikan’ dengan celoteh menghiburkan terutama dari kenalan Khairul Aming.
“Rendah dirinya Khairul Aming. ‘Drip’ pun guna ron95 sahaja,” kata salah seorang kenalan kepada usahawan terbabit meninggalkan komen mencuit hati di ruangan komen tersebut.
“Minum air campur dengan garam Celtic. Jangan minum air banyak sahaja banyak tetapi tak campur garam Celtic. Risau sistem hidrasi tak berfungsi pula,” ujar pengguna lain berkongsikan petua menjaga kesihatan.
Namun perlu diingatkan bahawa garam Celtic juga tidak boleh diambil secara berlebihan kerana boleh menaikkan tekanan darah, badan akan menjadi lebih sembab serta tidak sesuai untuk pesakit darah tinggi.
Baca juga: Niat nak bantu peniaga tepi jalan…pelanggan kecewa pizza RM19.90 macam play doh