Bekas PAT didakwa pecah amanah tabung tentera, salah guna kuasa terima suapan

Oleh MALAYSIADATELINE

Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar didakwa atas pertuduhan menggunakan kedudukan bagi suapan dan menerima wang berjumlah RM752,482 serta pecah amanah membabitkan dana RM3 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Tertuduh iaitu Mohd Nizam yang berusia 60 tahun itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan terhadap kesemua empat pertuduhan berkenaan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mohd Nizam dihadapkan dengan dua pertuduhan menggunakan kedudukan sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT).

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Nizam didakwa menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM267,481.90 bagi dirinya sendiri dengan melantik syarikat Sinar Bakti Global menjalankan kerja ‘Pembekalan Kain Pelikat Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025’ bernilai RM468,000.

Tertuduh juga melantik syarikat Sinar Raudhah Global menjalankan kerja ‘Pembekalan Kain Batik Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025’ bernilai RM52,000 dan Zahra Jaya Global bagi kerja ‘Pembekalan Multifunctional Folding Pliers Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025’ bernilai RM750,000 kepada TKAT di mana beliau mempunyai kepentingan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Nizam didakwa sebagai AKSPA ATM yang mempengerusikan TKAT, menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM285,000 dengan melantik QMZ Resources untuk menjalankan kerja ‘Pembekalan Tuala Mandi Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025’ bernilai RM600,000.

Tertuduh juga didakwa melantik Helmee Resources untuk menjalankan kerja ‘Pembekalan Beg Galas Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025’ bernilai RM1,725,000 kepada TKAT, yang mana beliau memiliki kepentingan, lapor Berita Harian.

Kedua-dua kesalahan menggunakan kedudukan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak, Kementah pada 24 Jun 2024 dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM) [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, Mohd Nizam boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Manakala untuk pertuduhan ketiga, Mohd Nizam didakwa sebagai AKSPA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT, telah melakukan pecah amanah wang berjumlah RM3 juta milik TKAT dengan menyalahgunakan dana tersebut bagi membuat pelaburan tambahan.

Pelaburan dibuat tanpa mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pelaburan TKAT di dalam syarikat Precious Amber International Berhad dan kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama, pada 4 Oktober 2024, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Berdasarkan pertuduhan keempat, Mohd Nizam didakwa sebagai PAT ATM telah menerima wang RM200,000 tanpa balasan untuk dirinya sendiri daripada Pengarah Syarikat Aspen Red Sdn Bhd, Wan Shafie Abdul Rashid, yang mana tertuduh tahu mungkin ada kena-mengena dalam urusan yang akan dijalankan olehnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma Transit Kuala Lumpur, Jalan Buku Lima, Kementah pada Mac 2025, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan [Akta 574] dan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib manakala Mohd Nizam pula diwakili peguam, Abdul Aziz Hamzah dan Surya Putra Taulan.

Hakim Rosli kemudian membenarkan tertuduh untuk dijamin dengan wang jaminan sebanyak RM180,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 31 Mac ini.

Baca juga: Kebajikan penjawat awam terus dijaga, nikmati kenaikan gaji fasa 2 mulai hari ini