Individu kecam kereta guna lorong kecemasan, sekali kena sindir balik tak reti bezakan Smart Lane

Oleh KIM SYAZIE

Tidak dinafikan sehingga kini masih ada yang keliru antara lorong kecemasan dengan Smart Lane. Mereka juga tidak tahu bila masa yang dibenarkan untuk menggunakan lorong tersebut.

Sama seperti seorang pengguna TikTok ini, yang disindir ramai selepas memuat naik video mengecam kenderaan yang melalui lorong kecemasan di lebuh raya.

Tanpa dia ketahui, ia sebenarnya kemudahan Smart Lane yang telah diaktifkan.

Video itu dimuat naik seorang wanita pada TikToknya dengan kapsyen, ‘orang-orang kaya di Malaysia, jalan sesak dia orang guna lorong kecemasan lebuh raya (kendalian) Plus’.

Bagaimanapun, ramai yang menyindir serta memerli wanita tersebut kerana masih tidak mengetahui kemudahan Smart Lane di lorong kecemasan yang diaktifkan untuk waktu-waktu tertentu oleh syarikat konsesi lebuh raya bagi mengurangkan kesesakan.

“Orang kaya ke, miskin ke boleh guna Smart Lane. Janji cerdik, itu saja,” kata seorang pengguna TikTok.

“Lapor polis kak, lepas tu tanya kenapa saya tak tahu pasal Smart Lane,” komen pengguna lain.

“Sebelum nak ‘sound’ orang, pergi ‘check’ dulu masa-masa Smart Lane dibuka kepada pengguna jalan raya masa perayaan,” ujar seorang lagi pemilik akaun TikTok.

Seorang lagi individu memaklumkan, video tersebut berkemungkinan di kawasan Nilai ke Seremban yang mana terdapat kemudahan Smart Lane di situ.

“Macam Lebuh Raya Utara-Selatan di kawasan Nilai-Seremban. Sini memang Smart Lane dari lepas kilang Recron sampai sebelum Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban. 

“Boleh guna Jumaat hingga Ahad. Ada waktu sahaja boleh guna, akhir pukul 7 malam. Kalau nak guna Smart Lane baca dulu papan tanda kuning,” jelasnya.

Baca juga: “Ketuk pintu, kutip RM1,840” – Rider diminta jadi ‘pengutip sewa’, siap dijanjikan komisen 10%