Tak perlu bukti ke luar negara, orang ramai boleh mohon kad fizikal lesen memandu

Oleh MAISARAH AISYA

Bermula 23 Januari 2026, orang ramai kini diberi pilihan untuk memohon kad fizikal Lesen Memandu Malaysia (LMM).

Permohonan boleh di buat di semua kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara, tanpa perlu mengemukakan bukti keluar negara.

Kementerian Pengangkutan memaklumkan bahawa inisiatif ini bertujuan memberi lebih fleksibiliti kepada pengguna, khususnya bagi mereka yang memerlukan lesen fizikal untuk kegunaan dalam dan luar negara.

Dalam masa yang sama, Lesen Memandu Malaysia Digital akan kekal percuma dan boleh diakses melalui aplikasi MyJPJ.

Pembaharuan lesen juga terus boleh dilakukan secara dalam talian tanpa perlu hadir ke pejabat JPJ.

Kad fizikal LMM ditawarkan sebagai pilihan tambahan, dengan kadar fi cetakan sebanyak RM20 untuk warganegara dan RM100 untuk bukan warganegara.

Namun begitu, kad fizikal LMM diberikan secara percuma kepada golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas, pemegang lesen kelas A dan A1, serta pemegang Kad Orang Kurang Upaya (OKU).

Menurut Kemeterian, langkah berkenaan selari dengan usaha mengurangkan kerenah birokrasi, meningkatkan maklum balas rakyat serta memastikan perkhidmatan yang disediakan lebih mesra pengguna.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menyediakan perkhidmatan awam yang mudah, pantas dan inklusif, selaras dengan keperluan semasa rakyat,” menurut kenyataan itu.

Baca juga: “Tiada sesiapa percaya saya dibuli waktu itu” – Puteri Balqis dedah kejadian sebenar di set