Seorang pemuda nekad mengambil keputusan berhenti kerja selepas syarikatnya didakwa hanya memperuntukan masa selama satu jam sahaja untuk perkerja menunaikan solat Jumaat.
Sekiranya pekerja didapati mendirikan solat Jumaat lebih daripada masa yang ditetapkan dan kembali ke tempat kerja lewat, mereka akan dikenakan tindakan seperti potong gaji ataupun menerima surat amaran.
Itulah situasi sebenar kini dialami oleh seorang pemuda dikenali sebagai Daus yang dikongsikan menerusi satu perkongsian tular dimuat naik di akaun media sosial Threads miliknya, baru-baru ini.
Lebih memburukkan keadaan, syarikat itu juga dikatakan tidak membenarkan pekerja Muslim menunaikan ibadah wajib ketika waktu bekerja membuatkan lelaki terbabit nekad berhenti tanpa membuat sebarang penyediaan.
“Baru-baru ini, saya telah meletak jawatan tanpa mencari pekerjaan lain terlebih dahulu. Hal ini kerana syarikat saya tidak membenarkan kakitangan Muslim mendirikan solat semasa waktu bekerja.
“Malah solat Jumaat juga perlu ditunaikan dalam waktu rehat makan tengah hari dalam tempoh satu jam sahaja. Jika pulang ke tempat kerja lewat, gaji akan dipotong dan diberikan amaran. Saya lebih memilih agama berbanding pekerjaan.
“Buat masa ini, saya bekerja sebagai penghantar barang sepenuh masa sambil mencari pekerjaan lain. Mohon doa agar saya dapat mencari pekerjaan baharu yang membolehkan keimanan dan kedamaian dengan Allah SWT terjaga,” katanya.
Dalam perkongsian yang sama, pemuda itu menegaskan bahawa maklumat berhubung syarikat tersebut tidak boleh didedahkan kerana dirinya sudah menandatangani surat perjanjian ketika meletak jawatan.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna menasihatkan pemuda terbabit untuk membuat laporan kerana majikan wajib memberi masa sekurang-kurangnya satu jam 30 minit bagi pekerja solat Jumaat.
Ramai juga pengguna berkongsikan rasa terkejut apabila mengetahui kejadian seperti itu boleh berlaku di Malaysia selain turut mengirimkan doa agar pemuda terbabit dikurniakan peluang pekerjaan yang lebih baik.

Baca juga: Penantian 19 tahun berakhir, pasangan suami isteri timang anak lelaki selepas IVF ketiga berjaya