Mesyuarat luar biasa PN tak jemput Muhyiddin

Oleh ROSLAN ZAMAN

Mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) Khamis ini tidak akan mengundang Presider Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan perletakan jawatan bekas Perdana Menteri itu sebagai Pengerusi PN.

Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hasan, berkata atas sebab itu, hanya ahli MTPN yang berbaki dipanggil untuk hadir ke mesyuarat berkenaan.

Beliau berkata, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan PN, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin yang turut meletakkan jawatan sebelum ini, turut tidak disenarai sebagai yang akan hadir dalam mesyuarat itu.

“Pandangan undang-undang yang kami terima ialah dari segi undang-undang, (peletakan jawatan Muhyiddin) ini sudah berkuat kuasa (mulai 1 Januari lalu)

“Tapi tak apalah, walaupun demikian, (pemakluman peletakan jawatan itu) perlu dibawa kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk diluluskan juga,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini, hari ini.