Kementerian Pengangkutan memberi amaran akan bertindak tegas terhadap mana-mana pengendali bas, termasuk bas pelancongan, yang gagal mematuhi keperluan pemasangan peranti had kelajuan (SLD).
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, penguatkuasaan penuh kini telah bermula selepas tempoh pelaksanaan awal tamat pada hujung tahun lalu.
Ini sekali gus menandakan tiada lagi kompromi terhadap aspek keselamatan jalan raya lapor Harian Metro.
“Sekarang kita sudah mula menguatkuasakan pemasangan SLD. Bas yang gagal mematuhi syarat ini akan dikenakan tindakan.
“SLB berfungsi mengehadkan kelajuan maksimum bas kepada 90 kilometer sejam, sekali gus menghalang pemandu daripada memandu melebihi had yang ditetapkan.
“Ia membabitkan beberapa fasa dan fasa pertama sudah selesai pada 31 Disember lalu,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Jelas Loke, tindakan tegas diambil untuk mengekang pemandung berbahaya dan mengurangkan risiko kemalangan maut melibatkan bas.
Dalam masa sama, kerajaan memperkukuh pemantauan pemandu melalui pembangunan pangkalan data pemandu bas oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Sistem ini membolehkan syarikat pengendali menyemak rekod kesalahan lalu lintas dan status lesen pemandu sebelum mereka diambil bekerja.
“Pada masa sama, kita sudah memperkenalkan pemasangan sistem telematik pada bas bagi memantau corak serta sikap pemanduan pemandu secara masa nyata.
“Sistem itu mampu merekodkan tahap keletihan, gaya pemanduan dan tahap berhemah pemandu.
“Telematik ini belum diwajibkan, namun kita menggalakkan syarikat pengendali memasangnya secara sukarela sebagai langkah tambahan keselamatan,” katanya.
Baca juga: Khairul Aming tolak ‘walk-in’ termasuk dari golongan orang politik, tegas nak berlaku adil