Dalam diam, penyanyi Aisyah Aziz khabarnya sudah selamat melahirkan cahaya mata sulung hasil perkahwinannya dengan suami tercinta iaitu Dr. Mohd Fakhrudin Amir Mohd Ismail.
Khabar gembira tersebut disampaikan oleh ibu kepada Aisyah, Siti Hafiza Sheikh Mohamad menerusi hantaran gambar bersama cucunya yang dimuat naik di platform Instagram pada Jumaat.
Dalam gambar tersebut, Hafiza yang duduk bersebelahan dengan suaminya itu dilihat sedang memangku cucu ketiganya namun wajah bayi baru dilahirkan berkenaan ditutup dengan menggunakan emoji hati.
Hafiza turut meluahkan kegembiraannya di atas kelahiran cucunda yang disifatkan sebagai hadiah sangat bernilai buat keluarganya selain menzahirkan ucapan sayang kepada Aisyah dan suaminya.
“Masyaallah, Allahumma Baarik (Ya Allah, berkatilah) hadiah yang sangat-sangat bernilai buat kami sekeluarga. Amin Allahumma Amin. Kami doakan cucunda sentiasa berada dalam lindungan dan kasih sayang Allah.
“Sayang dan peluk untuk anak perempuan kesayangan saya, Aisyah Aziz dan suaminya, Fahrudin Amir. Masyaallah Tabarakallah,” katanya dalam ruangan kapsyen gambar dimuat naik di akaun Instagram miliknya itu.
Sang nenek turut mengirimkan doa supaya cucunya itu menjadi anak yang soleh serta dikurniakan kebahagiaan di dunia dan akhirat serta meluahkan rasa rindu terhadap bayi berkenaan.
“Menjadi anak yang soleh, penyejuk mata pada Abah dan Ummi serta keluarga. Sentiasa berbahagia dunia dan akhirat. Ummi Wan dan Tok Ayah sudah rindukan awak!.” Ujarnya lagi.
Terdahulu, Aisyah mendirikan rumah tangga pada bulan April 2025 lalu dengan Dr. Fahrudin Amir yang juga merupakan abang kepada suami usahawan selebriti, Noor Neelofa iaitu Mohd Haris Ismail.
Baca juga: Ditawar setengah juta ringgit untuk buka tudung, Elly Mazlein tak goyah