Polis jumpa gumpalan tisu ada cecair, tahan 2 lelaki berkelakuan tak senonoh dalam kereta

Oleh MALAYSIADATELINE

Perbuatan dua lelaki disyaki berkelakuan tidak senonoh di dalam kereta yang diletakkan di tempat awam menerima padah apabila mereka ditahan oleh pihak polis di lokasi kejadian di Taman Intan Baiduri, Jinjang, Kuala Lumpur.

Difahamkan, mereka berdua ditahan Jumaat lalu kira-kira pada pukul 2 pagi selepas anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah mendapati sebuah kereta jenis Proton X50 berada di dalam keadaan mencurigakan.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, pemeriksaan pihaknya juga menemui gumpalan tisu berwarna putih yang dipercayai mengandungi cecair di lantai penumpang belakang.

Kedua-dua lelaki yang masing-masing berusia 24 dan 29 tahun itu kemudian mengakui mereka telah melakukan perbuatan tidak senonoh di dalam kenderaan berkenaan, lapor Berita Harian.

“Kedua-dua suspek yang ditahan adalah jurujual di sebuah pasar raya dan jurujual telefon. Mereka dibawa ke Balai Polis Jinjang untuk tindakan lanjut dan direman selama tiga hari,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod jenayah sebelum dibebaskan semalam dengan jaminan polis selepas tempoh tahanan reman tamat.

Ahmad Sukarno turut menjelaskan bahawa siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan kerana berkelakuan tidak senonoh, iaitu persetubuhan bertentangan aturan tabii.

Baca juga: ‘Moksu Bedak Sejuk’ meninggal dunia, dirempuh ketika lintas jalan