Cikgu kesal ibu bapa tak ajar anak ‘cebok’ sebelum hantar ke sekolah, buka bekal pun tak reti

Oleh MALAYSIADATELINE

Perkongsian seorang guru yang meluahkan kekesalannya terhadap sikap lepas tangan segelintir ibu bapa di dalam mendidik anak-anak mereka telah berjaya mengundang perbincangan hangat media sosial baru-baru ini.

Menerusi satu perkongsian dimuat naik di akaun Threads miliknya, guru terbabit merasa kecewa apabila wujud ibu bapa yang tidak mengajar anak mengenai penjagaan kebersihan diri sebelum menghantar mereka ke sekolah.

Isu tersebut telah menimbulkan masalah kepada guru apabila mereka perlu membersihkan najis anak murid sambil mengurus sekitar 39 orang pelajar lain yang berada di dalam bilik darjah dalam satu masa sama.

Sehubungan dengan itu, guru terbabit merayu kepada ibu bapa untuk menjalankan tanggungjawab di dalam mendidik anak sekurang-kurangnya sehingga mereka boleh membersihkan diri sendiri di sekolah.

“Kalau tak pernah hantar anak ke sekolah, tolonglah ajar dekat rumah macam mana nak buka dan tutup bekal makanan serta membasuh kencing berak. Kami ini cikgu, bukan bibik nak menyantuni puteri putera raja sebegitu rupa.

“Kita ada 39 murid lagi nak kena ambil tahu itu ini. Bukan ada anak tuan hamba seorang sahaja. Ini bukan isu tak pandai. Tetapi sudah tahap manja dan mengada. Tolong ibu bapa, peka dengan anak. Janganlah campak semua benda dekat kami,” rayunya.

Dalam perkongsian sama, wanita itu menjelaskan bahawa murid yang dimaksudkan adalah pelajar sekolah rendah bukan anak tadika seperti disangka pengguna Thread selain turut berterima kasih kepada ibu bapa yang peka.

“Kepada ibu bapa yang prihatin, terima kasih sebab boleh meringankan beban kami ini sebagai cikgu-cikgu sekolah rendah. Semoga urusan kita sebagai ibu dipermudahkan,” ujarnya yang juga memiliki anak berusia dua tahun.

Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna bersetuju bahawa ibu bapa perlu memastikan anak-anak pandai membersihkan diri sendiri dahulu sebagai bentuk persediaan awal sebelum dihantar ke sekolah.

Baca juga: Buffet bulan puasa tapi tiada istilah ‘Ramadan’? Individu dedah sebab sebenar…