Seorang pemuda membuat keputusan berani, meninggalkan kerjayanya dengan gaji lumayan sekitar RM15,000 sebulan kerana tidak mahu lagi terbeban dengan tekanan yang telah menjejaskan kesihatan mentalnya.
Dalam satu perkongsian di platform Thread, lelaki itu memberitahu dia sebelum ini bekerja dalam sektor perladangan selama dua tahun, namun memutuskan untuk berhenti sebaik sahaja disahkan menghidap Kemurungan Major (MDD) dan serangan panik.
Menurutnya, walaupun kini pendapatannya sebagai seorang penghantar makanan tidak berapa stabil, namun ia membuatkannya lebih tenang dan bahagia.Barangan runcit
“Saya baru berhenti kerja baru-baru ini. Gaji terakhir saya hampir RM15,000, termasuk komisen.
“Sekarang saya hanya buat kerja gig. Kebanyakannya Foodpanda. Pendapatan memang sangat tidak stabil, tapi sejujurnya, saya bahagia.
“Saya dapat jumpa kawan-kawan, luangkan masa dengan keluarga, dan main permainan video bila-bila saya mahu,” luahnya.
Dia juga meluahkan rasa lega dan bebas kerana tidak perlu lagi menjawab panggilan dari majikan pada jam 3 pagi atau berpura-pura tersenyum dalam mesyuarat pukul 8 pagi dengan klien cerewet.
Apa yang membuatkan ramai bangga apabila individu tersebut meluahkan bahawa dia kini telah pun berhenti mengambil ubat kira-kira sebulan yang lalu.
“Ia bukan kehidupan yang sempurna, tapi terasa lebih ringan. Saya rasa saya akan okey.
“Saya berhenti ambil ubat kira-kira sebulan lalu, dan untuk pertama kalinya dalam tempoh yang lama, saya benar-benar rasa bebas,” ujarnya.
Baca juga: Individu cadang guna guna IC untuk lawan ‘scalper’, Khairul Aming jelaskan risiko undang-undang