Perkongsian dimuat naik seorang gadis yang meluahkan kekesalannya atas sikap pengotor rakan serumahnya telah berjaya mencuri perhatian ramai pengguna media sosial baru-baru ini.
Mana tidaknya, gadis terbabit turut berkongsikan gambar memaparkan keadaan periuk nasi di rumah mereka yang sudah dipenuhi dengan ulat sebagai bukti membuatkan orang ramai turut merasa loya.
Sikap pengotor individu itu bukan sahaja mendatangkan ketidakselesaan kepada rakan serumahnya, malah turut membebankan mereka kerana perlu membantu untuk membersihkan semua kekotoran yang ditinggalkan.
Difahamkan, mereka semua tinggal di kediaman disewa bersama namun pelaku yang meninggalkan kekotoran berkenaan meluangkan masa lebih banyak di rumah itu berbanding rakan lain.
“Entahlah, nak meluah dekat sini. Aku dengan rakan yang lain ini penat tahu tak, duduk dengan orang pengotor. Tahap pengotor dia gila wei. Dahulu aku boleh layan lagi sebab pengotor sedikit sahaja.
“Sekarang sampai macam ini, kami sudah macam kuli batak. Sedikit lagi sudah boleh jadi tukang cuci yang berjaya. Tak reti masak, kami tolong masakkan. Tak reti cuci baju, kami bantu basuhkan.
“Kadang-kadang bilik dia baunya, Ya Allah. Hanya Tuhan sahaja yang tahu. Belum di bahagian dapur. Biasanya dia masak nasi, mi segera dan goreng telur. Memang dia akan biar sampai macam ini. Penat weh,” kesalnya.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di platform Threads itu, gadis berkenaan memaklumkan bahawa penampilan rakan serumahnya di luar sememangnya sangat cantik namun cukup berbeza apabila berada di rumah.
Pelbagai nasihat juga sudah diberikan sebagai usaha agar rakan serumahnya berubah namun langsung tidak diendahkan malah mereka juga akhirnya terpaksa mengambil inisiatif untuk membersihkan kekotorannya.
“Hati-hatilah, yang berkenalan dengan dia. Sumpah dekat luar, memang cantik nak mamp*s. Tetapi di rumah, hanya kami tahu betapa pengotornya. Kawan aku sedikit lagi nak tukar jadi hantu. Sudah nasihat itu ini, suruh bersihkan. Akibat kami juga kena cuci.” Kongsinya lagi.
Baca juga: Anak muda pilih jadi rider, tinggalkan kerjaya dengan gaji lumayan RM15,000