Seorang wanita meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa nasi lemak yang dibelinya pada waktu pagi berada dalam keadaan tidak elok dan tidak selamat untuk dimakan.
Menerusi satu hantaran di Threads, wanita dikenali sebagai emylasuraya_ memuat naik gambar nasi lemak yang dibeli dan mendakwa nasi tersebut bertekstur lembik, berair serta kelihatan seperti tidak dimasak dengan sempurna.
Menurutnya, keadaan itu membuatkan dia berasa loya dan hampir menangis kerana bimbang akan menyebabkan sakit perut.
“Beli nasi lemak pagi tadi, tergamak ya jual macam ini. Kita memang tengah sakit perut, rasa nak menangis,” tulisnya dalam perkongsian tersebut.
Tambahnya, jika dia berada di tempat peniaga, makanan dalam keadaan sedemikian tidak sepatutnya dijual kepada pelanggan walaupun terpaksa menanggung sedikit kerugian.
“Kalau saya jadi penjual, kalau dah macam ini, saya takkan jual. Biarlah rugi sikit daripada memudaratkan pelanggan,” katanya.
Dalam satu komen susulan, wanita itu menjelaskan kejadian tersebut berlaku kerana dia tidak menyedari keadaan nasi ketika membeli, selain tergesa-gesa dan tidak sempat memeriksa makanan berkenaan.
“Pertama kali juga jadi macam ini. Tak sempat cedok dan tak perasan nasi itu tak jadi. Nasi kacau elok pun memang dah tak jadi, lembik semuanya,” jelasnya.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai dengan pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya menzahirkan kebimbangan terhadap aspek kebersihan dan kualiti makanan yang dijual.
“Putih-putih tu santan awak, kalau hidang memang nampak tak cantik. Tapi bila makan ok, yang pasti mesti nasi tu lembik sebab saya dah jumpa banyak situasi sama.
“Percayalah saya, awak lah orang pertama yang beli pagi tu sebab tu dapat kepala santan, nasi baru siap masak terus bungkus. Berlemak dik
“Automatik menangis kalau masa tengah lapar pastu makanan pula macam ini,” antara komen pengguna Threads.
Baca juga: Rakan serumah cantik tapi pengotor, gadis rasa macam kuli batak asyik tolong cucikan