Tol Jambatan Kedua ada diskaun 50 peratus hujung minggu ini, khas buat kenderaan kelas 1

Oleh MAISARAH AISYA

Berita baik buat pengguna Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah apabila kadar tol di laluan berkenaan ditawarkan diskaun sebanyak 50 peratus selama dua hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.

Jambatan Kedua Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan, potongan tersebut diberikan khusus kepada kenderaan Kelas 1 (persendirian).

Ini adalah satu inisiatif untuk meringankan beban kewangan pengguna yang pulang ke kampung halaman atau merancang perjalanan bersama keluarga sepanjang musim perayaan.

Menurut kenyataan itu, diskaun berkuat kuasa bermula 14 Februari 2026 pada jam 12.01 pagi dan berakhir 15 Februari 2026 pada jam 11.59 malam.

Langkah berkenaan dijangka membantu melancarkan pergerakan trafik, selain menggalakkan orang ramai merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui saluran rasmi Jambatan Kedua Sdn Bhd termasuk laman sesawang dan media sosial syarikat konsesi tersebut.

Baca juga: Bantu siasatan kes rasuah, bekas setiausaha bekas KM Melaka direman 5 hari bersama isteri