Pendakwah bebas, PU Syed tampil menegur kenyataan tular yang dikeluarkan oleh seorang pelakon berhubung keputusannya untuk tidak mengenakan hijab dalam satu sesi penggambaran sebuah drama.
Menurut PU Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak, tindakan pelakon terbabit menjaga solatnya sememangnya wajar untuk disyukuri namun perintah lain terutamanya menutup aurat tetap tidak boleh diabaikan,
Pendakwah berusia 43 tahun itu menegaskan bahawa menutup aurat bukanlah satu pilihan sebaliknya adalah sebuah kewajipan yang sudah ditetapkan oleh Allah SWT kepada setiap wanita akil baligh beragama Islam.
Teguran disampaikan pendakwah terbabit secara terbuka menerusi perkongsian video dimuat naik di akaun media sosial miliknya bersama tangkap layar memaparkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pelakon berkenaan.
“Kalau ayah faham kita tanggalkan tudung tetapi solat jaga, Alhamdulillah. Syukur kepada Allah. Sebabnya satu bahagian itu kita sudah sempurna dengan menjaga ibadat solat.
“Tetapi dengan tindakan kita mencabut tudung, aurat pula dedahkan. Itu adalah satu perbuatan haram, yang sepatutnya kita sendiri kena faham. Bukan perlu orang lain yang faham.
“Kita sendiri perlu faham bahawa kefarduan yang telah ditetapkan kepada seorang Muslim yang telah akil baligh, mestilah menutup aurat,” katanya dalam perkongsian video dimuat baik di platform TikTok itu.
Dalam perkongsian sama, PU Syed turut menyampaikan pertanyaan sekiranya mereka yang tidak menutup aurat sanggup menanggung dosa mereka secara berterusan dengan mendedahkannya kepada orang ramai,
Pendakwah terbabit turut memberi peringatan mengenai kepentingan menunaikan perintah Allah dan menjauhi laranganNya yang sudah menjadi tanggungjawab wajib dipukul oleh setiap Muslim.
“Jadi sanggupkah menanggung dosa sepanjang masa kita dedahkan aurat tersebut, dilihat oleh orang dan rasa tidak bersalah kepada Allah? Kepada adik ini, tolonglah faham mana yang perlu kita utamakan dalam hidup.
“Perkara itu adalah perintah dan larangan Allah. Itulah syarat seorang Islam. Sabar ini bukan sekadar bila diuji, tapi sabar dalam melaksanakan perintah Allah. Kena banyak berdoa supaya Allah jaga kita.
“Selain kefahaman yang baik tentang kefarduan yang telah ditetapkan. Tidak ada yang boleh kita ambil mudah. Kecuali jika seseorang itu tidak berakal atau belum baligh. Jika tidak, maka kewajipan itu tetap atas kita.” Jelasnya.
Terdahulu, seorang pelakon wanita bertudung menjadi sasaran kecaman ramai baru-baru ini selepas penularan sesi fotografi memaparkan penampilannya yang tidak berhijab untuk penggambaran sebuah drama.
Selebriti itu kemudian mengeluarkan kenyataan dengan memaklumkan bahawa dirinya menerima teguran orang ramai namun tidak mempunyai jawapan khusus tentang perubahan penampilannya.
Keputusan diambil ekoran tuntutan watak itu juga sudah dimaklumkan kepada ahli keluarga terdekat terutamanya bapanya yang memahami tindakannya asalkan pelakon terbabit tidak meninggalkan solatnya.
Baca juga: Usaha tidak khianati hasil, suri rumah berjaya kumpul RM6,000 hasil enam tahun buat ‘affiliate’