Kerajaan tubuh jawatankuasa khas siasat isu Azam Baki, KSN dilantik sebagai pengerusi

Oleh MALAYSIADATELINE

Kerajaan bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti serta menyiasat segala dakwaan dan isu berbangkit yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, jawatankuasa khas berkenaan akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar lapor Harian Metro.

“Jemaah Menteri pada hari ini membincangkan isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Jemaah Menteri memutuskan supaya satu jawatankuasa khas ditubuhkan.

“(Jawatankuasa khas) itu akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara yang akan menyiasat dakwaan, perkara yang dibangkitkan berkait Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Media sebelum ini melaporkan satu laporan agensi antarabangsa mendakwa Azam memiliki sebanyak jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun dalam sdiang media terbaharu Azam menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menjelaskan bahawa laporan hasil siasatan jawatankuasa khas berkenaan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri sebaik proses penelitian selesai, sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.

Beliau menegaskan langkah tersebut penting bagi menjamin ketelusan dan memelihara integriti sepanjang proses siasatan dijalankan.

Mengulas gesaan beberapa Ahli Parlimen PKR termasuk Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli agar Tan Sri Azam Baki digantung tugas serta-merta, Fahmi memaklumkan perkara berkenaan tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

“Apa yang Jemaah Menteri putuskan ialah supaya jawatankuasa khas dipengerusikan KSN melakukan siasatan, maka kita akan rujuk dan serahkan kepada KSN serta jawatankuasa untuk meneliti,” katanya.

Baca juga: Laporan Bloomberg: Azam Baki sedia disiasat, mahu kekalkan kepercayaan rakyat