Pasangan dari AS teruja buat sendiri nasi lemak dan teh tarik sebagai sarapan sekeluarga

Oleh KIM SYAZIE

Pasangan pencipta kandungan dari Amerika Syarikat (AS) menjadi perhatian selepas memperkenalkan hidangan tradisi Malaysia kepada anak-anaknya iaitu nasi lemak dan teh tarik.

Menerusi perkongsian di Instagram, pasangan suami isteri yang dikenali sebagai William dan Elkey Zandstra menyediakan sendiri hidangan tersebut sebagai menu utama untuk sarapan mereka sekeluarga pada hari itu.

Difahamkan, setiap minggu dia dan suami akan menyediakan hidangan yang berbeza mengikut negara yang dipilih anak-anak mereka secara rawak dalam glob dunia.

Mereka menceritakan serba sedikit tentang kelebihan Malaysia yang kaya dengan hutan hujan tropika dengan sesetengah daripadanya (termasuk Taman Negara) berusia lebih 100 juta tahun.

Selain itu mereka juga belajar bahasa Malaysia yang ringkas seperti selamat pagi dan selamat malam.

“Setiap minggu, anak-anak memutarkan glob dan memilih negara secara rawak. Dan kami akan hasilkan hidangan sarapan dari negara tersebut,” katanya.

Tidak hanya itu, mereka juga menggunakan lagu kebangsaan negara, lagu Negaraku sebagai muzik latar video yang dimuat naik.

Ia mendapat perhatian pengguna media sosial yang teruja apabila masyarakat negara luar berminat mengetahui serba sedikit tentang Malaysia terutama makanan kegemaran rakyat negara ini.

Di ruangan komen, pencipta kandungan itu juga mengakui agak sukar untuk dia dan suami membuat pilihan makanan mana yang mahu diketengahkan dalam video mereka kerana banyak yang mahu mereka cuba.

Baca juga: “Saya takkan umumkan” – Keith Foo pilih berdiam diri soal status agama, akui masih belajar Islam