Pas dakwa sudah ada calon terajui Perikatan Nasional, dipersetujui parti komponen lain

Oleh MALAYSIADATELINE

Pas kembali menyatakan hasrat mereka untuk menerajui Perikatan Nasional (PN) dengan mendakwa semua parti komponen di dalam gabungan tersebut sudah bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Difahamkan, parti berkenaan juga sudah memiliki calon untuk mengisi kekosongan jawatan pengerusi PN dan perkara tersebut akan diputuskan dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi (MT) gabungan itu pada Ahad ini.

Pendirian itu disampaikan Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika ditemui media pada Sambutan Tahun Baharu Cina di kediaman Presiden Gabungan Pertubuhan Tionghwa, Datuk Oie Poh Choon.

Jelasnya, terdapat kesepakatan awal dalam PN sebelum ini supaya Pas memimpin gabungan berkenaan untuk memastikan kestabilan dan hala tuju pembangkang terus kukuh, lapor Berita Harian.

“Kita sudah bersetuju untuk terajui PN, pengerusi yang baharu adalah daripada PAS. Malah, perkara ini juga sudah dipersetujui parti komponen lain dalam PN. Sebelum ini memang ada mengatakan terdapat parti yang tidak bersetuju lantik pengerusi daripada PAS.

“Namun perkara itu tidak berbangkit apabila kesemua sudah bersetuju dengan pelantikan pengerusi daripada PAS,” jelas Setiausaha Agung Pas itu memetik laporan Berita Harian ketika memaklumkan perkembangan terbaharu berhubung isu tersebut.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan dua agenda yang dijangka dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah penerimaan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN dan pelantikan penggantinya.

Terdahulu, Muhyiddin dilaporkan membuat cadangan agar jawatan Pengerusi PN dimansuhkan dan kepemimpinan gabungan itu disusun semula berikutan pertikaian dalaman berhubung pelantikan ketua baharu.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagaimanapun mengesahkan jawatan Pengerusi PN tetap kekal dan tidak akan dimansuhkan malah isu tersebut tidak pernah dibincangkan atau dipersetujui oleh parti berkenaan.

Baca juga: Bukan main sekarang ringgit tunjuk ‘taring’, betul ke tiada kaitan dengan dasar kerajaan?