Pelakon, Datin Intan Najuwa kembali mencuri tumpuan orang ramai baru-baru ini selepas mendedahkan koleksi beg tangan berjenama mewah dimiliknya di platform media sosial.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Instagram, selebriti itu mengakui bahawa hampir kesemua koleksi beg tangan kegemarannya dihadiahkan oleh suaminya iaitu usahawan, Datuk Ahmad Azraf Azman.
Pelakon berusia 29 tahun itu turut menunjukkan beg tangan pertama yang dihadiahkan usahawan berkenaan dalam satu sesi kejutan istimewa sewaktu mereka belum bergelar suami isteri.
Pemilik nama sebenar Intan Najuwa Abdul Wahid itu juga memaklumkan bahawa beg jenama Dior dari koleksi Lady D-Joy yang berharga mencecah puluhan ribu ringgit tersebut menyimpan kenangan tidak boleh dilupakan.
“Ini adalah beg kegemaran saya yang menduduki tangga lima teratas. Jadi inilah beg tangan pertama yang suami belikan untuk saya sebelum kami berkahwin. Semasa nak mengurat saya, tiba-tiba dia hantar beg ini dekat bawah rumah.
“Dia beritahu, ‘Saya ada kejutan untuk awak’. Selepas itu saya turunlah dan ucapkan ‘Wau!’ Bila nampak. Jadi ini adalah beg tangan yang saya akan ingat buat selama-lamanya,” katanya dalam perkongsian di akaun Instagram miliknya itu.
Dalam video tersebut, Intan turut menunjukkan beberapa koleksi beg tangan lain yang turut menjadi kegemarannya daripada pelbagai jenama ‘kayangan’ termasuk Bottega Veneta dan Loro Piana.
Terdahulu, Intan dan Azraf melangsungkan perkahwinan cukup meriah pada Ogos 2023 lalu sebelum dikurniakan dengan kehadiran seorang cahaya mata perempuan iaitu Imane Lunara yang kini berusia setahun.
Baca juga: Fasha Sandha jalani prosedur cuci rahim, keguguran ketika usia kehamilan 10 minggu