Tarian singa merupakan satu persembahan yang cukup sinonim dengan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang dipercayai mampu membawa tuah, kekayaan dan juga membuang semangat jahat.
Walaupun persembahan tersebut didominasi oleh etnik Cina, namun situasi masyarakat yang majmuk di Malaysia menyebabkan tarian berkenaan kini turut dikuasai oleh rakyat berbilang bangsa termasuklah kaum Melayu.
Namun situasi tersebut turut menimbulkan perbincangan berhubung peralatan penting dalam persembahan tarian Singa iaitu gendang sekiranya ia boleh disentuh atau haram digunakan oleh peserta Melayu beragama Islam.
Hal ini kerana permukaan peralatan muzik itu diperbuat daripada kulit sehingga membuatkan segelintir pihak merasa bimbang jika haiwan yang haram untuk disentuh digunakan dalam penghasilannya.
Peka dengan isu tersebut, seorang lelaki berbangsa Cina dikenali sebagai Kionz Chan tampil mendedahkan kulit haiwan sebenar digunakan dalam penghasilan gendang menerusi perkongsian dimuat naik di platform TikTok.
“Apabila kita nampak orang Melayu Muslim sertai tarian Singa sahaja, pasti tertanya-tanya boleh ke? Lebih-lebih lagi peserta bahagian gendang. Antara persoalan adalah kulit gendang itu boleh disentuh atau sebaliknya.
“Selain daripada itu, permukaan gendang itu diperbuat daripada kulit binatang apa? Hal ini menjadi persoalan yang sangat-sangat besar. Ramai juga yang sangka kulit gendang ini haram disentuh oleh rakan Muslim kita.
“Sebab banyak yang beranggapan permukaan gendang itu diperbuat daripada kulit ‘oink-oink’ (khinzir). Faham-faham sahajalah. Sebenarnya, gendang yang bersaiz besar kebiasaannya harus menggunakan kulit kerbau,” katanya.
Kionz menjelaskan bahawa faktor kulit kerbau ini dipilih adalah kerana sifat lapisannya yang tebal dan tahan lasak menjadikan permukaannya tidak mudah koyak serta menghasilkan nada bass sangat dalam atau ‘deep’.
Bagaimanapun dalam perkongsian sama, lelaki terbabit juga tidak menafikan wujudnya gendang yang diperbuat dari kulit khizir namun hanya melibatkan peralatan muzik bersaiz kecil sahaja.

Baca juga: Sah ke puasa kalau mandi wajib selepas azan Subuh? Ustaz Azhar Idrus jawab kekeliruan