26 tahun tak naik harga, warga emas kekal jual air serendah 30 sen demi bersedekah

Oleh MALAYSIADATELINE

Walaupun jumlahnya tidak banyak, masih terdapat gerai yang menawarkan air pada harga berpatutan, sekali gus menjadi pilihan utama pelanggan.

Gerai milik seorang warga emas bernama Sarifah Bahari dari Tandop menjadi tumpuan selepas menjual minuman serendah 30 sen hingga RM1 lapor Utusan Malaysia.

Gerai yang terletak di Jalan Kuala Kedah meletakkan harga berkenaan sejak 26 tahun dengan niat untuk bersedekah.

Menurut wanita berusia 74 tahun itu, meskipun memperoleh keuntungan seberapa, hatinya puas dapat membantu pelangan yang datang daripada golongan berpendapatan rendah.

“Saya mula berniaga sejak zaman Allahyarham Datuk Seri Syed Razak Syed Zain jadi Menteri Besar Kedah sampailah Menteri Besar sekarang, Alhamdulillah masih kekalkan harga sama.

“Dahulu arwah Syed Razak yang tinggal di taman berdekatan selalu singgah beli juga. Sekarang walaupun sudah lebih 25 tahun saya tidak berhasrat hendak naikkan harga lagi.

“Pelanggan saya banyak orang biasa saja dan mereka datang beli sini sebab saya jual murah kalau naikkan harga tentu mereka kecewa.

“Biarlah, kerana saya pun niat hendak bersedekah,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Ibu tunggal kepada 10 anak itu memaklumkan bahawa sirap ais dijual pada harga 30 sen manakala minuman lain seperti teh o ais dan kopi o ais dijual pada harga 50 sen.

Teh ais pula dijual pada harga 60 sen manakala minuman lain seperti Nescafe dan Milo Ais ditetapkan RM1.

“Bungkus dan minum di gerai sama sahaja harganya. Orang selalu tanya, kalau jual macam ini untungkah? Masih untung sebenarnya, cuma sedikit sahaja lah,” katanya.

Dia berkata semua anaknya sudah berkahwin dan mempunyai keluarga masing-masing, menyebabkan rumah terasa sunyi apabila dia bersendirian, lalu mengambil keputusan untuk keluar berniaga.

Menurutnya, anak-anak pernah memintanya berhenti, namun dia memaklumkan masih mahu meneruskan perniagaan kerana memikirkan pelanggan yang setia mendapatkan jualannya.

Baca juga: Jaga-jaga! Ini 4 keadaan anda wajib buka puasa serta merta kalau sayangkan nyawa sendiri