Seorang wanita berumur dalam lingkungan 50-an ditahan polis selepas disyaki menikam ibunya sendiri di bahagian leher sehingga cedera parah di sebuah rumah di Kampung Segineh Inas, Johol, Kuala Pilah malam tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pada pukul 7 malam semalam di mana mangsa warga emas terbabit ditikam dengan menggunakan pembuka tin oleh suspek yang dikatakan mempunyai masalah mental.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Mustafah Hussin, mangsa yang berusia dalam lingkungan 80-an terbabit kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Rembau.
Pihak polis juga mengesahkan bahawa mereka menerima satu laporan mengenai kes pergaduhan yang membawa kepada kejadian tikaman membabitkan ahli keluarga di Kampung Segineh Inas, lapor Berita Harian.
“Pada jam 7.08 malam tadi, polis terima maklumat orang awam memaklumkan satu kes pergaduhan di sebuah rumah. Suspek dikatakan menikam leher ibunya sendiri menggunakan senjata tajam yang dipercayai alat pembuka tin.
“Suspek, wanita berumur 50-an yang juga anak kandung mangsa. Motif kejadian masih dalam siasatan dan kemungkinan suspek mempunyai masalah kesihatan mental. Dia kini ditahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Dalam pada itu, pihak polis turut mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah.
Baca juga: Jaga-jaga! Ini 4 keadaan anda wajib buka puasa serta merta kalau sayangkan nyawa sendiri