Pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan tangkapan terhadap seorang lelaki yang disyaki mengaku dirinya sebagai Rasul dalam operasi dijalankan di sebuah premis di Rawang, semalam.
Menurut Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, pelaku yang merupakan warga emas itu ditahan bersama tiga individu lain termasuklah seorang wanita di dalam premis sama.
Empat individu berkenaan ditahan oleh pasukan khas dari Ibu Pejabat JAIS selepas menjalankan siasatan berhubung satu aduan yang diterima pihak berkuasa agama terbabit pada 9 Februari lalu.
Aduan tersebut mendakwa ada individu yang mendakwa dirinya sebagai Rasul telah mempengaruhi keluarganya sebelum tampil membuat laporan sebelum kejadian tidak diingini berlaku.
Berdasarkan siasatan awal, individu yang berusia 65 tahun itu menyatakan kepada pengikutnya bahawa dirinya telah bertemu dengan Nabi Adam AS secara nyata pada waktu siang, lapor Berita Harian.
Difahamkan, lelaki yang dianggap pengikutnya sebagai utusan Allah itu turut mengaku sudah pernah bertemu dengan Nabi Muhammad SAW di dalam bentuk cahaya pada waktu malam.
“Dia juga menyatakan bertemu dengan para Rasul sebanyak dua hingga tiga kali dalam tempoh seminggu dan kejadian itu berlaku antara dua hingga tiga tahun lalu di sebuah taman negara, di negara ini,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Mohd Shahzihan juga memaklumkan bahawa segala perlakuan individu itu turut dianggap oleh pengikutnya sebagai suruhan Allah seperti tidak perlu mendirikan solat atau berpuasa jika berasa letih dan uzur.
JAIS kemudian melakukan siasatan dan tangkapan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki berlaku suatu upacara atau perbuatan berhubung dengan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak.
Baca juga: Masjid pasang perlawanan bola sepak untuk jemaah taraweh