Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan larangan penjualan minyak masak sawit tulen bersubsidi dalam paket 1 kilogram kepada warga asing berkuat kuasa 1 Mac 2026.
Menurut kenyataan rasmi KPDN, langkah itu dilaksanakan di bawah penguatkuasaan Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi memastikan bekalan barangan bersubsidi terus dinikmati oleh warganegara Malaysia yang layak.
KPDN memaklumkan bahawa pembelian minyak masak paket bersubsidi hanya dibenarkan kepada rakyat Malaysia untuk kegunaan isi rumah.
Transaksi juga perlu dibuat menerusi aplikasi e-COSS sebagai mekanisme kawalan serta pemantauan.
“Bermula 1 Mac 2026, penjualan minyak masak paket bersubsidi adalah dilarang kepada warga asing,” menurut kenyataan itu.
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memastikan sistem subsidi lebih bersasar dan berkesan, di samping menjamin kestabilan bekalan minyak masak di pasaran tempatan.
Baca juga: Penjawat awam dan pesara akan terima bantuan khas kewangan, disalurkan 13 Mac ini