Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2026 dijadualkan untuk disalurkan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan pada 13 Mac ini sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Difahamkan, pegawai perkhidmatan awam yang layak akan diberikan bantuan sebanyak RM500 manakala pesara kerajaan termasuklah veteran berpencen dan tidak berpencen pula menerima inisiatif berjumlah RM250.
Pemberian BKK ini juga akan dikecualikan daripada cukai pendapatan selaras peruntukan di bawah subseksyen 127(3A) Akta Cukai Pendapatan 1967 serta tertakluk kepada penerimaan pihak berkuasa masing-masing.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr Mohd Bakhari Ismail memaklumkan bayaran RM500 ini layak diberikan kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Gred 15 dan ke bawah atau setara melibatkan lantikan tetap dan sementara.
“Pegawai lantikan kontrak ‘Contract of Service’ (COS) dan pekerja Sambilan Harian, pegawai yang bercuti bergaji penuh, separuh gaji atau tiada pendapatan juga layak menerima bantuan ini.
“Pegawai yang bercuti tanpa gaji dan pekerja dipinjamkan termasuk ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya juga layak namun BKK akan dibayar oleh agensi yang meminjam pegawai berkenaan.
“Bayaran juga diberi kepada pemandu dilantik sendiri oleh pegawai Gred Utama B dan ke atas serta Gred Khas A dan ke atas yang layak pemandu tetapi tidak disediakan selain pemandu dilantik sendiri oleh Anggota Pentadbiran, Hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman,” katanya dalam satu kenyataan dikongsikan di platform Facebook.
Personel MySTEP yang masih berkhidmat dan guru interim juga tidak dikecualikan untuk menerima bantuan yang sebelum ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebagai persiapan raya.
Sementara itu, pesara kerajaan dan veteran yang dilantik semula sama ada secara lantikan tetap, sementara atau COS yang masih berkhidmat pula layak dibayar sebanyak RM500.
“Dalam hal ini, pembayaran sebanyak RM250 akan dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan baki sebanyak RM250 pula akan dibayar jabatan di mana pegawai sedang berkhidmat.
“Seterusnya, pegawai yang meninggal dunia pada 13 Mac 2026 layak menerima BKK sebanyak RM500 yang akan disalurkan kepada waris gemulah.” Ujar kenyataan itu lagi.
Baca juga: Ringgit pada paras tertinggi dalam tempoh 8 tahun