PU Riz dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Biro Agama PKR – Fuziah Salleh

Oleh MALAYSIADATELINE

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan perlantikan pendakwah bebas, Muhd Haris Mohd Ismail sebagai Timbalan Pengerusi Biro Agama parti tersebut.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik di platform Facebook melalui akaun rasmi milik parti berkenaan.

Difahamkan, perlantikan pendakwah lebih mesra dikenali sebagai PU Riz yang juga merupakan suami kepada usahawan selebriti iaitu Noor Neelofa itu diputuskan dalam mesyuarat MPP parti, semalam.

“MPP telah memutuskan pelantikan saudara Chiew Choon Man iaitu Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya sebagai ahli ex officio, serta saudara Muhd Haris Mohd Ismail (PU Haris) sebagai Timbalan Pengerusi Biro Agama,” katanya dalam kenyataan itu.

Dalam mesyuarat sama, MPP PKR juga dimaklumkan bahawa parti berkenaan telah menerima sebanyak 14,225 pendaftaran anggota baharu bagi tempoh Oktober 2025 sehingga Januari 2026.

Antaranya adalah Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Ahmad Sani Araby Abdul Alim dan Pengurus Strategik Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Hidayat Abdullah.

Dalam pada itu, isu pendakwaan melibatkan Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol turut menjadi antara agenda dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

MPP PKR kemudian memutuskan menggantung semua jawatan parti disandang Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak itu secara serta-merta sehingga kes mahkamah dihadapinya diputuskan.

Mesyuarat juga memutuskan bahawa Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli kekal sebagai ahli parti selepas membincangkan isu surat tunjuk sebab kepada bekas Menteri Ekonomi itu dan jawapannya sebelum ini.

“Parti mengambil maklum bahawa beliau kekal sebagai anggota parti dan mengingatkan beliau agar sentiasa mematuhi perlembagaan, kod tata etika serta disiplin parti sebagai tanda beliau masih setia sebagai anggota parti.” Ujarnya.

Baca juga: Dirogol lepas kenal di TikTok, isyarat mengapa Malaysia perlu larang media sosial bawah 16 tahun sekarang & kuatkan ONSA