Satu kes baru-baru ini di mana seorang lelaki warga asing didakwa merogol seorang remaja 15 tahun yang dikenalinya di TikTok, membuka mata masyarakat terhadap bahaya interaksi tanpa kawalan di media sosial.
Lebih-lebih lagi apabila membabitkan remaja bawah umur yang mudah diperdaya oleh individu tidak dikenali.
Mengikut fakta kes, pada 7 Disember 2025 seorang individu membuat laporan polis tentang kehilangan anak perempuannya selepas dikatakan keluar mengikut tertuduh yang baharu dikenali sebulan melalui TikTok, dengan menaiki motosikal.
Mangsa yang berusia 15 tahun semasa kejadian kemudian memberitahu bapanya bahawa lelaki itu telah merogolnya di bilik sewa tertuduh di Inanam, Sabah pada kira-kira 7 malam 7 Disember.
Kes berkenaan sekali lagi membuka mata masyarakat, sekaligus melihat bagaimana pentingnya pelaksanaan Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berpandangan, media sosial ketika ini bukan lagi ruang yang selamat, sebaliknya sarat dengan pelbagai bentuk penipuan dan manipulasi.
Menurut beliau, teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) turut disalah guna sehingga mampu memperdaya pengguna tidak mengira umur.
“Sebenarnya media sosial cukup bahaya hari ini kerana terdapat banyak penipuan. Sesuatu yang boleh digunakan seperti AI. Boleh memperdaya bukan setakat kanak-kanak malah orang dewasa,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.
Mazlan menjelaskan, golongan dewasa sendiri sering menjadi mangsa, termasuk diperdaya dalam skim pelaburan atau melalui taktik penyamaran identiti di media sosial, khususnya melibatkan wanita dan ibu tunggal.
Sehubungan itu, beliau menegaskan jika orang dewasa pun mudah tertipu, apatah lagi kanak-kanak bawah umur yang lebih naif dan terdedah kepada manipulasi.
Mengulas kes di Sabah, beliau menyifatkannya sebagai contoh jelas bagaimana larangan penggunaan media sosial di bawah umur 16 tahun ini sangat penting bagi mengehadkan pendedahan awal kanak-kanak kepada risiko jenayah seksual, pengaruh negatif dan komunikasi dengan orang dewasa yang tidak dikenali.
Beliau juga menyokong pelaksanaan ONSA yang bertujuan mengawal selia penyedia perkhidmatan internet dan platform media sosial supaya lebih bertanggungjawab, termasuk memperketat kawalan kandungan berbahaya, mengesan aktiviti grooming serta mengambil tindakan pantas terhadap akaun mencurigakan.
Secara ringkas, ONSA meletakkan tanggungjawab keselamatan bukan hanya pada pengguna, tetapi juga pada syarikat teknologi.
“Jadi saya fikir adalah penting Akta ONSA 2025 ini agar dapat mengekang kes seperti berlaku di Sabah,” katanya sambil berharap kerajaan bertegas serta memperkukuh undang-undang dan hukuman terhadap pihak tidak bertanggungjawab.
Baca juga: Rakyat Malaysia kongsi pengalaman solat tarawih di Beijing, 23 minit selesai 20 rakaat!