Seorang penjawat awam ditahan reman bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah sebagai balasan membawa masuk dadah untuk penghuni sebuah pusat pemulihan di Terengganu.
Perintah tahanan reman selama enam hari itu dikenakan terhadap wanita berusia 30-an terbabit selepas dibenarkan oleh Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), wanita itu ditahan bersama rakan sekerja lelakinya ketika tampil memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu pada jam 12.30 tengah hari semalam.
Keterangan diambil untuk membantu siasatan dakwaan bahawa mereka meminta dan menerima wang rasuah sebanyak RM6,000 daripada keluarga penghuni pusat pemulihan tersebut, lapor Kosmo.
Walau bagaimanapun, sumber memaklumkan bahawa suspek lelaki yang berusia 40-an terbabit telah dilepaskan semalam dengan jaminan agensi antirasuah berkenaan di atas faktor kesihatan.
“Siasatan awal mengesyaki kedua-dua suspek melakukan perbuatan tersebut secara berasingan antara September 2024 hingga Januari 2025.
“Mereka didakwa meminta dan menerima wang rasuah daripada keluarga penghuni pusat pemulihan tersebut menerusi transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing dan pihak ketiga,” katanya memetik laporan Kosmo.
Hasil siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek itu membawa masuk barangan terlarang berkenaan dengan menggunakan modus operandi menerusi pembekalan makanan tengah hari.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi oleh pihak media mengesahkan penahanan penjawat awam berkenaan.
Baca juga: Aliff Syukri terkejut kos cat kediaman mewahnya cecah RM250,000