Penuntut IPT didakwa pijak al-Quran mengaku tak bersalah, peguam jawab status agama

Oleh MALAYSIADATELINE

Penuntut Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah (UMPSA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas dua pertuduhan iaitu memijak al-Quran dan memuat naik gambar perbuatan itu di media sosial.

Pengakuan tidak bersalah tersebut dibuat oleh tertuduh, S.Vikneswaran yang berusia 21 tahun itu selepas kedua-dua pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohammad.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah mencemarkan suatu benda yang dipegang suci oleh penganut agama Islam iaitu sebuah al-Quran dengan niat hendak mengaibkan agama berkenaan.

Kesalahan didakwa dilakukan sekitar pukul 1.30 petang, 22 Februari lalu di sebuah rumah di Taman Seri Mahkota dan tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau keduanya jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memuat naik hantaran jelik melampau di media sosial dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

Sekiranya disabitkan kesalahan bagi pertuduhan kedua, pelajar terbabit boleh dikenakan hukuman didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, lapor Kosmo.

Pertuduhan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Shahrizat Ismail yang memohon jumlah jaminan RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan memandangkan kes tersebut berprofil tinggi dan menimbulkan kegusaran masyarakat.

Peguam, Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan kepada RM10,000 dengan alasan tertuduh masih belajar manakala bapanya yang berusia 59 tahun hanya bekerja sebagai penternak ikan.

Bapa kepada anak guamnya itu juga masih perlu menyara isteri beserta dua anaknya termasuklah tertuduh dengan pendapatan sebanyak RM5,000 sebulan yang diraihnya daripada pekerjaan tersebut.

Hakim kemudian membenarkan jaminan RM5,000 untuk setiap pertuduhan oleh seorang penjamin dan tertuduh juga diarahkan untuk melaporkan diri di Balai Polis Jaya Gading pada setiap awal bulan manakala tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 8 April depan.

Sementara itu, Muhammad Amirull ketika ditanya di luar mahkamah tentang status agama tertuduh yang didakwa sudah memeluk Islam menegaskan bahawa keluarganya juga tidak tahu menahu tentang perkara tersebut.

Baca juga: Firdaus Wong dedah perbualan dengan pelajar pijak al-Quran, siap pilih nama ‘Islam’ sendiri