Perlantikan Samsuri sebagai Pengerusi PN bukan jaminan jadi calon Perdana Menteri – Muhyiddin

Oleh MALAYSIADATELINE

Perlantikan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu tidak menjaminnya untuk diangkat sebagai calon Perdana Menteri.

Menurut Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, isu calon yang akan diangkat sebagai Perdana Menteri jika Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dimenangi PN adalah perkara berbeza dengan lantikan pengerusi gabungan itu.

Bekas Perdana Menteri itu juga memaklumkan bahawa isu berhubung calon Perdana Menteri daripada gabungan berkenaan juga masih belum dibincangkan bersama parti rakan komponen iaitu Pas, lapor Berita Harian.

Malah pernah juga isu berbangkit dan nama Muhyiddin dicalonkan sebagai Perdana Menteri namun pemimpin daripada parti kompenan berkenaan dikatakan belum mahu membincangkan perkara tersebut.

“Ini lantikan sebagai Pengerusi PN bukan calon Perdana Menteri. Saya memetik kenyataan Tuan Ibrahim (Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) yang ada sebut bahawa ini untuk Pengerusi PN.

“Kalau hendak bercakap soal calon bagi Perdana Menteri itu isu lain. Itu tidak dibincangkan lagi, apabila berbangkit mengenainya pernah saya dicalonkan (sebagai Perdana Menteri). Pemimpin Pas kata, tidak.

“Katanya kita tidak mahu bincangkan soal itu lagi. Jadi, saya fikir pendirian itu masih kekal,” katanya kepada pihak media di Ibu Pejabat Bersatu kelmarin, memetik laporan Berita Harian.

Terdahulu, Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN pada 22 Februari lalu memutuskan perlantikan Menteri Besar Terengganu itu sebagai pengerusi baharu susulan peletakan jawatan Muhyiddin pada akhir tahun lalu.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga menjelaskan bahawa pihaknya menghormati ketegasan kepimpinan parti Pas yang mahu mengangkat Ahmad Samsuri untuk mengetuai gabungan berkenaan.

Pihaknya juga berpendapat bahawa jawatan pengerusi PN perlu diisi oleh pemimpin senior dengan pendirian Bersatu sendiri sebelum ini yang mahu gabungan tersebut ditadbir oleh presiden parti.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut menyatakan ketegasannya untuk tidak bekerjasama lagi dengan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam tempoh terdekat kerana beliau sudah hilang kepercayaan.

Bahkan beliau sendiri akan menolak Hamzah sekiranya ahli politik terbabit mahu menyertai PN bersama parti baharu memandangkan hak menerima keahlian tidak bergantung kepada satu pihak sahaja.

Sebaliknya perkara itu bergantung kepada persetujuan daripada ahli komponen gabungan yang mempunyai empat keahlian parti untuk mempertimbangkan sama ada mahu memberikan kelulusan atau sebaliknya.

Baca juga: Netizen bergaduh kerana Che Sayang, tuan badan tampil beri respon