Sebuah surau di Shah Alam mencuri perhatian apabila menu moreh yang dihidangkan dilihat luar daripada kebiasaan dan dianggap setaraf hidangan golongan T20.
Selain kambing golek dan nasi padang, surau Elmina Gardens menyediakan hidangan barat seperti spaghetti dan lasagna yang jarang menjadi menu moreh sepanjang Ramadan.
Memetik Harian Metro, disebabkan hidangan luar biasa yang disediakan pihak surau, ada kariah luar yang sanggup memandu beratus kilometer untuk merasai hidangan di surau itu.
Perkara itu diberitahu Pengerusi surau berkenaan, Prof Dr Amer Shakir Zainol.
“Kami pernah terima kariah dari Seremban, Negeri Sembilan yang mahu merasai pengalaman berbuka dan moreh di sini.
“Golongan ‘iftar’ atau masjid ‘hopping’ memang akan datang sekurang-kurangnya sekali semata-mata untuk rasai sendiri pengalaman menikmati menu T20.
“Menu itu kami sediakan untuk tarik perhatian kariah surau dan mewujudkan suasana berbeza di surau kami,” katanya seperti dilapor.
Dr Amer berkata, surau itu juga sudah diperbesarkan bagi menampung kehadiran sekitar 300 hingga 400 jemaah setiap malam.
Tambah Dr Amer, pihaknya mengambil inisiatif menjadikan surau lebih mesra dan tarikan kepada golongan muda.
“Kelainan Ramadan tahun ini apabila ada sukarelawan dan komuniti setempat mahu keunikan Surau Elmina Gardens disebarkan secara lebih meluas.
“Ada dalam kalangan anak kariah sendiri menawarkan diri untuk membuat kandungan termasuklah `live’ di media sosial,” katanya.
Baca juga: Pengguna bas ‘tegar’ terkejut tengok harga tiket balik raya, ke Kelantan cecah RM120!