Pelakon wanita dan suaminya yang sebelum ini ditahan reman kembali dicekup pihak polis untuk membantu siasatan kes penipuan pelaburan membabitkan urusan penjualan lembu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa mereka ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Perintah tahanan reman ke atas kedua-kedua suspek itu juga akan dimohon pihak polis di mahkamah hari ini namun butiran lanjut mengenai kes tidak didedahkan dalam kenyataan tersebut.
Perkara ini termasuklah jumlah kerugian diakibatkan daripada penipuan tersebut selain lokasi serta tarikh perbuatan berkenaan didakwa dilakukan oleh suspek, lapor Berita Harian.
Setakat ini, kedua-dua suspek disyaki terlibat dalam tiga kes penipuan melibatkan tiga mangsa yang berasingan di berlainan negeri dengan kerugian mencecah ribuan sehingga jutaan ringgit.
“Pelakon dan suaminya telah ditangkap oleh BSJK IPD Dang Wangi berkaitan pelaburan dalam penjualan lembu. Kedua-dua mereka akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Terdahulu, pelakon wanita dan suami yang sebelum ini direman bagi kes penipuan urusan penjualan tanah kurnia turut disiasat bagi dakwaan penipuan darjah kebesaran membabitkan kerugian kira-kira RM23,000.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim menjelaskan bahawa pihaknya menerima satu laporan berhubung penipuan tersebut pada 18 Disember tahun lalu.
Suspek juga didakwa terlibat dalam satu kes penipuan berkaitan urusan penjualan lot tanah kurnia di Selangor dengan jumlah kerugian mencecah RM1.5 juta sebelum ditahan untuk membantu siasatan.
Penahanan pertama itu dilakukan susulan pihak polis menerima laporan daripada seorang ahli perniagaan lelaki berusia 56 tahun di daerah Hulu Langat berikutan diperdaya suspek iaitu kawannya sendiri.
Pasangan suami isteri terbabit mulanya ditahan pihak berkuasa di tempat persembunyian mereka di sebuah madrasah tahfiz di Jalan Kuari Sungai Long, Batu 11, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat pada Rabu lalu.
Baca juga: Pelakon wanita dan suami disiasat lagi kes tipu Datuk palsu, mangsa buat 6 transaksi